Berita

Pencemaran di Pulau Pangkor, kerajaan negeri lepas tangan

IPOH, 11 DIS: : ADUN Pantai Remis Wong May Ing mempersoalkan sikap lepas tangan kerajaan negeri berhubung pencemaran berpunca dari insinerator Pulau Pangkor.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan loji berkenaan tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, sewaktu membentangkan laporan itu pada November 2014.

“(Pencemaran bermula) apabila abu sisa terbakar (bottom ash) terus dibuang ke tapak pelupusan lama di sebelah insinerator tanpa dibungkus, sedangkan Jabatan Alam Sekitar mewajibkannya,” kata Wong dalam perbahasan DUN Perak hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bersikap sambil lewa berdasarkan jawapan diberi dengan mengatakan operasi sampah di bawah XCN Technology Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan persekutuan.

“Tidak ada langsung apa-apa laporan tentang tahap pencemaran pelepasan bahan toksik dioxin, merkuri, furan, karbon dioksida dan air resap larut dari insinerator itu,” ujarnya.

DAP sebelum ini mempersoalkan kewajaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambung kontrak XCNTselama tiga tahun.

Penganugerahan kontrak baru dengan nilai RM3.56 juta tidak wajar sama sekali kerana XCNT terbukti gagal menguruskan insinerator di Pulau Pangkor.

PAC pada 11 November lalu dalam satu kenyataan mengesyaki wujud unsur rasuah dalam penganugerahan empat projek loji insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Wilayah Persekutuan Labuan bernilai RM184.74 juta.

PAC mendapati KPKT gagal menjalankan tanggungjawab dalam memilih teknologi berdasarkan cadangan kontraktor XCNT.

Lanjutan itu, Wong menggesa Zambry membuat aduan segera kepada Pusat demi kepentingan penduduk di Pulau Pangkor, kawasan yang turut diwakili Menteri Besar.

“Isu insinerator ini bukan hendak mengungkit, tetapi harus dijadikan perhatian utama,” ujar Wong.- Roketkini.com