Berita

Belanjawan 2015: Perak tak dapat peruntukan adil dari Pusat

IPOH, 11 DIS: Negeri Perak hanya menerima RM1.05 bilion, bersamaan kira-kira 0.36 peratus, dari keseluruhan RM274 bilion belanjawan Persekutuan, kata ADUN Setiawan Datuk Ngeh Koo Ham.

Justeru itu, beliau kesal dengan kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Kadir dalam ucapan belanjawan negeri yang menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Pusat, sedangkan jumlah peruntukan jelas tidak adil.

“Zambry perlu berhenti bertindak seperti pengemis dan tunduk apabila berdepan Kerajaan Persekutuan. Sebagai Menteri Besar Perak, beliau harus berani untuk memperjuangkan hak Perak untuk mendapat pembahagian yang adil.

“Sebagai contoh, bagi keseluruhan Rancangan Malaysia ke-10 diantara 2011 hingga 2015, Perak hanya diperuntukkan RM4.45 bilion berbanding RM3.12 bilion pada Disember 2014.

“Perak harus diperuntukkan RM5 bilion atau 10 peratus daripada dana Pembangunan Persekutuan berjumlah RM50.5 bilion bagi 2015,” kata Ngeh dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak pada 2013 berjumlah RM41.7 bilion, atau 5.3 peratus daripada KDNK negara yang berjumlah RM787 bilion.

Manakala KDNK Selangor berjumlah RM186 bilion atau 24 peratus, Kuala Lumpur adalah RM122 bilion (15.50 peratus).

Tambah Ngeh, KDNK Perak bago 2013 hanya pada kadar 13.5 peratus daripada gabungan KDNK Selangor dan Kuala Lumpur, malangnya menerima peruntukan kecil dari Pusat

Justeru itu, Ngeh menyatakan kerajaan negeri perlu menggesa Pusat untuk menarik pelabur ke negeri ini terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujarnya, kerajaan Pusat yang mengawal Petronas, Khazanah Holdings. 1MDB, Putrajaya Holdings, Pembinaan PFI, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Amanah Negara dengan dana beratus-ratus bilion ringgit, namun kewujudan GLC dan syarikat berkaitan hampir tidak dirasai oleh rakyat Perak.

“Perak tidak akan keluar daripada belenggu kemiskinan melainkan peruntukan Kerajaan Persekutuan lebih adil dengan penyertaan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan pelaburan sektor swasta. – Roketkini.com