Berita

Jawatankuasa audit KLIA2 ‘boneka politik’ MCA

IPOH, 12 DIS: Jawatankuasa bebas audit KLIA2 yang dilantik Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tong Lai diragui kerana diketuai Chuah Hein Teik, Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang dimiliki parti MCA.

Ketua Biro Kemajuan Ekonomi DAP Perak Chong Zemin berkata, langkah tersebut seolah-olah percubaan menyembunyikan kegagalan pengurusan KLIA2, kelewatan tempoh penyiapan dan peningkatam kos dari RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.

“Bagaimanakah rakyat Malaysia hendak percaya apabila Presiden MCA melantik Presiden UTAR untuk mengetuai jawatankuasa audit bebas KLIA2?

“Bukan sahaja mengehadkan siastan skandal RM4 bilion KLIA2, tetapi diketuai oleh ‘boneka politik ‘, kata Chong dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hujah Liow bahawa pelantikan Chuah berdasarkan merit kerana memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP).

“Jika kedudukan Chuah sebagai Presdien UTAR itu sendiri boleh dipertikaikan, apatah lagi peranannya untuk mengendali jawatankuasa bebas audit KLIA2,” ujar Chong.

Empat anggota lain yang diumumkan menganggotai jawatankuasa itu adalah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharrudin Abd Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Annies Md Ariff; Ketua Pegawai Eksekutif G&P Professionals Sdn Bhd Datuk Dr Ir Gue See Sew dan Pengurus Besar Petronas, M Shobri Abu Bakar.

Difahamkan, jawatankuasa tersebut diberi enam bulan untuk meneliti kes, mendedahkan laporan dan mengambil tindakan terhadap apa sahaja hasil dikemukakan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebelum ini berkata, jawatankuasa audit baru itu dikecilkan skop, iaitu kepada hanya untuk menyiasat kejadian tanah mendap di KLIA2.

Penubuhan jawatankuasa itu oleh Kementerian Pengangkutan mengabaikan syor Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan menghalang Peguam Negara untuk akses kepada skandal itu.

Sedangkan kata Chong, masalah utama KLIA2 selain peningkatan kos adalah pengurusan tidak cekap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Justeru itu beliau menggesa Liow meluaskan skop jawatankuasa audit bebas itu untuk memasukkan siasatan terhadap punca peningkatan kos RM2.3 bilion. – Roketkini.com