Berita

Menteri Pengangkutan takut audit KLIA2

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai cuba menyembunyikan skandal KLIA2 apabila mengambil jawatankuasa bebas dan tidak mengendahkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata jawatankuasa audit baru itu dikecilkan skop, hanya untuk menyiasat kejadian tanah mendap di KLIA2.

“Masalah utama KLIA2 adalah peningkatan kos dari RM 1.7 bilion kepada RM 4 bilion kerana pengurusan tidak cekap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“(Sedangkan) jawatankuasa bebas itu tidak akan diberi ruang menyiasat lebih terperinci kesalahan dan mencari dalang disebalk skandal itu,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Jun lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu mendedahkan KLIA2 seharusnya siap pada 2011, namun tertangguh sebanyak tujuh kali.

Ia termasuk keputusan menempatkan KLIA2 di KLIA West, tapak yang tidak sesuai untuk pembinaan lapangan terbang.

“Tindakan ini dipersoalkan, kerana menyebabkan peningkatan kos dan kelewatan,” ujarnya.

Tambah Pua, Liow cuba bertindak sama seperti yang dilakukan Kementerian Pengangkutan semasa skandal RM12 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Apakah Liow senyap-senyap menghukum pembuat keputusan yang menyebabkan MAHB semakin rugi sebanyak 98 peratus pada suku terakhir kewangan?

“(Atau) adakah menteri-menteri MCA sekarang sudah menjadi ‘Menteri Sembunyi Jenayah’ kepada skandal berbilion ringgit? soal Pua.

“Jika MAHB tidak menyembunyikan apa-apa, tiada alasan untuk tidak mengendahkan cadangan agar Ketua Audit Negara menyiasat skandal KLIA2 seperti mana dalam penemuan PAC,” ujar Pua. – Roketkini.com