Berita

Najib kaki ponteng, hanya 26 hari ke Parlimen sejak jadi PM

GEORGE TOWN, 12 DIS: Rekod buruk kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Parlimen mengesahkan kegagalannya sebagai Perdana Menteri, kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

Ujar Kashturi, sejak 2009 hingga April 2014, Najib hanya hadir kira-kira 26 hari ke Parlimen.

“Rekod ini jauh lebih rendah berbanding Perdana Menteri Britain yang hadir ke Parlimen setiap Rabu selama 30 minit untuk menjawab enam soalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kasthuri, Najib tidak menunjukkan usaha untuk membuat kehadirannya dirasai di Parlimen dengan mengambil bahagian dalam perbahasan dan mendengar isu-isu semasa dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen.

“Najib menghabiskan 14 minit di Parlimen berucap tentang tragedi kehilangan MH370 dan keluar sebaik Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bangun memulakan debat.

“Pada 23 Julai lalu, ketika sidang khas berikutan tragedi pesawat MH17, Najib hanya hadir 35 minit sebelum meninggalkan Parlimen sebaik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun.

“Selepas lebih dua jam membentangkan Belanjawan 2015 pada 10 Oktober, dia terus keluar tanpa memerhati prosiding Parlimen terutamanya perbahasan yang berlangsung sehingga 27 November,” tegas Kasthuri.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang turut mempersoalkan tindakan Najib meletakkan jawapan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet.

“Jika seorang menteri kabinet yang pakar dalam bidang tertentu boleh ‘ambil nota’ terhadap cadangan dan pindaan, mungkinkah pada masa akan datang mereka boleh bergilir-gilir membacakan teks perbahasan Belanjawan, bukannya Najib lagi?

“Jadi masih layakkah Najib yang langsung tidak mempunyai niat untuk hadir ke Parlimen mendengar masalah berbangkit diberi peluang tiga tahun lagi?

“Undang-undang diluluskan di sidang Dewan Rakyat akan memberi kesan kepada semua, malangnya Najib pula sentiasa hilang,” kata Kasthuri. -Roketkini.com