Berita

Penghargaan buat ‘Harimau Jelutong’, mendiang pemimpin DAP

SUBANG, 14 DIS: Biarpun sudah meninggal dunia, namun jasa dan pengorbanan besar ‘Harimau Jelutong’ Karpal Singh tetap akan bersama mengiringi perjuangan parti, kata Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

“Saya memulakan ucapan pagi ini dengan memberikan penghormatan kepada Karpal yang begitu banyak memberi jasa dan khidmat bukan saja untuk parti tapi kepada negara dan rakyat.

“Saya percaya Karpal tentunya akan berharap DAP akan terus berjuang dan berdepan dengan semua cabaran untuk memastikan impian negara bebas serta adil dapat direalisasikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Persidangan Kebangsaan 2014 di One City, Subang Jaya.

Ahli Parlimen Cheras itu juga melahirkan penghormatan kepada mantan Ahli Parlimen Teluk Intan Seah Leong Peng dan Adun Bukit Assek Wong Ho Leng yang turut meninggal dunia tahun ini.

Hadirin tafakur seminit

Hadirin perwakilan, pemerhati dan tetamu turut berdiri dan bertafakur selamat seminit diiringi tayangan video dedikasi berdurasi tiga minit yang memaparkan gambar pemimpin-pemimpin DAP yang telah meninggal dunia sepanjang 2014.

Dengan latar belakang lagu melankolik, para perwakilan masing-masing merasa sebak menonton pelbagai gambar aktvisme mendiang dalam memperjuangkan rakyat sedari muda sehingga ke akhir hayat beliau.

“DAP telah ditimpa ujian besar apabila kehilangan tiga permata ini.

“Gugurnya mereka ketika sedang memberikan khidmat akan kita kenang dan hargai buat selama-lamanya,” kata Kok Wai – Roketkini.com