Berita

“Peralihan undi dua peratus tumbangkan BN”

SUBANG, 14 DIS: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mendedahkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui UMNO akan kalah pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

“Muhyiddin mengakui bahawa terdapat kemungkinan untuk BN kalah dengan hanya peralihan dua peratus dalam PRU akan datang.

“Dua peratus ini akan menyebabkan BN hilang kuasa dengan hanya memenangi 103 kerusi Parlimen,” katanya dalam Ucapan Dasar Persidangan DAP, hari ini.

Justeru itu tegasnya, DAP dan Pakatan Rakyat harus menjadi pakatan yang berkesan dengan menyatukan semua kuasa dalam masyarakat.

“Kita mesti membentangkan agenda dasar yang koheren dan konsisten yang boleh meyakinkan golongan atas pagar kerana asas partisan dari setiap pihak PR,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu menyatakan PR juga tidak akan dapat menyertai PRU akan datang jika tidak boleh bersetuju siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, mahupun tanpa pendirian jelas dan pasti.

“UMNO berhak untuk kalah seperti Parti Kongres India. Oleh itu, kita mesti menunjukkan urus tadbir yang baik dan bersih berbanding BN serta memberi faedah kepada rakyat

“Koalisi PR yang boleh menang mestilah mempunyai dasar jelas yang memenangi semua kumpulan etnik, terutamanya majoriti orang Melayu, seluruh Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pemimpin PR untuk menyahut cabaran bagi mewujudkan satu gabungan yang boleh menang.

“Saya menyeru kepada semua pemimpin PR untuk menyahut Kita berhutang kepada 52 peratus pengundi yang menyokong kita sebuah tanggungjawab untuk memastikan masa depan ekonomi mereka selamat,” katanya. –Roketkini.com