Berita

Perwakilan Wanita gesa kerajaan hapus hukuman mati

SUBANG, 14 DIS: Perwakilan Wanita DAP Kasthuri Patto menggesa kerajaan Pusat menghapuskan hukuman gantung sampai mati.

Katanya, berdasarkan statistik sehingga Jun 2013, seramai 696 orang telah dijatuhkan hukuman mati.

“Jumlah ini kemudiannya meningkat kepada seramai 964 orang, peningkatan sebanyak 38 peratus. Hukuman mati bukanlah penghalang kepada jenayah.

“Jadi, kita mesti terus menekan UMNO-BN untuk menghapuskan hukuman mati, yang bukan sahaja tidak relevan, malah tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam perbahasan Persidangan DAP hari ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu turut mendesak kerajaan membasmi keganasan terhadap wanita yang semakin menjadi-jadi dan berterusan.

“Kita harus menyatakan ‘tidak’ kepada keganasan terhadap wanita dan mengangkat kesaksamaan gender,: ujarnya.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan pada tahun 2013 hingga April sebanyak 1,353 kes dicatatkan manakala 2012 adalah 3,488 kes.

Kesungguhan DAP untuk membasmi keganasan terhadap wanita jelas terbukti apabila baru-baru melancarkan kempen Penang Goes Orange 2014.

Kempen yang bertujuan menentang keganasan terhadap wanita itu telah dilancarkan oleh Exco Belia Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Chong Eng. – Roketkini.com