Berita

Sekolah Demokrasi , usaha Roketkini kembang demokrasi

SUBANG, 14 DIS: Sekolah Demokrasi, sebuah inisiatif Roketkini.com berperanan untuk mengembangkan bentuk, rupa dan wacana ‘negara demokrasi’ di Malaysia, kata perwakilan Selangor, Edry Faizal Yusof.

Ujarnya, Sekolah Demokrasi merupakan untuk berkongsi dengan anak muda pemahaman tentang demokrasi dan lebih penting adalah bagi memperkenalkan ideologi Sosial Demokrasi.

“Sosial Demokrasi merupakan ideologi pegangan DAP yang termaktub di dalam perlembagaan parti. Lazimnya dalam lanskap politik Malaysia soal ideologi sering diketepikan.

“Kita boleh faham kerana perjuangan kita tertumpu dalam hal melawan korupsi dan salahguna kuasa, tetapi sekiranya tidak jelas dengan ideologi, kita dengan mudah akan masuk ke dalam perangkap Barisan Nasional,” kata Edry.

Ujarnya, meskipun UMNO, MCA dan MIC sebagai parti berbeza, namun disatukan oleh ideologi sama iaitu politik berasaskan kaum.

“Melayu fikir hal orang Melayu. Orang Cina fikir hal Cina. India fikir hal orang India.

Tegasnya, istilah perkauman dan politik berasaskan kaum tidak pernah wujud dalam DAP, kata perwakilan Selangor Edry Faizal Yusof.

“DAP bukan parti yang mementingkan agenda satu kaum saja. Dalam sosial demokrasi cuma ada dua istilah iaitu kaum menindas dan tertindas.

“Yang tertindas perlu kita bela dan menindas harus kita kekang tanpa memilih bulu atau kaum,” katanya.

Beliau juga menyatakan, ahli DAP tidak boleh lagi terperangkap dalam rangka fikir bahawa parti ini tugasnya hanya melawan MCA dan MIC.

“Fikiran sebegini adalah salah. Kita bukan parti yang Melayu bantu Melayu, Cina bantu Cina dan India bantu India. Kita bantu semua tak kira apa jenis kaum atau agama,” tegasnya.

Justeru itu, Edry menyeru parti memperbanyak lagi program pendidikan ideologi terutamanya kepada ahli dan pihak yang berminat untuk berjuang bersama DAP. – Roketkini.com