Rencana

Ucapan alu-aluan Tan Kok Wai, Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP

Di forum tertinggi parti ini, ingin saya berkatakan bahawa masa depan DAP bakal diselubungi isu-isu kritikal dan detik-detik mencabar yang akan membawa impak besar kepada Negara dan rakyat.

Ingin saya titikberatkan di sini, DAP akan terus berkonsisten dengan ideologi Sosial Demokrasi yang menekankan perjuangan untuk semua rakyat Malaysia. Berdasarkan kepada tiga teras: kebebasan, keadilan dan kebersamaan.

DAP akan sentiasa memperjuangkan kebebasan untuk semua warga dari sebarang cengkaman autoritarian. Prinsip kebersamaan menjadi pemacu perjuangan kita supaya sentiasa bersama mereka yang tertindas tidak kira dari kaum apa, agama mana dan tempat asal mereka. Kerana kita percaya Malaysia adalah milik kita bersama dan semua warga berkongsi tanah yang sama, langit yang sama, udara yang sama di tanah air kita ini.

Kita dapat lihat hari ini bagaimana UMNO bersama sekutunya dalam Barisan Nasional, sedang menguatkan lagi cengkaman mereka pada latar politik yang sedia autokratik. Menjadikan padang persaingan yang sejak awal tidak rata, semakin senget sebelah. Itu semua memerlukan kita berusaha berlipat ganda lagi.

Sejarah DAP penuh dengan lakaran perjuangan tidak berbelah bagi dan penuh jerih perih. Kita akan terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip tiga teras, akan terus mengikut petunjuk moral dan wawasan untuk mencapai impian rakyat Malaysia yang sejati. Satu muafakat rakyat berdasarkan kesederhanaan (moderation) dan bukannya ekstrimisme.

Semangat Perlembagaan Persekutuan

Kita akan terus menggengam erat dan mempertahankan semangat dan intipati Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti DAP.

Kita menjunjung semangat secular yang terkandung di dalam kedua-dua dokumen yang disebutkan tadi. Sebab kita percaya inilah semangat yang dapat menyatukan dan menghubungkan bukan saja kaum, kepercayaan dan kebudayaan berbeza, tetapi juga menyatukan dan menghubungkan
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri pertama kita yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan negara ini, Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Kedua Almarhum Tun Hussein Onn, telah menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular. Sebuah negara yang menghormati hak asasi dan kebebasan beragama setiap warga dengan Islam sebagai agama rasminya. Sememangnya itulah yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan jangan sesekali kita terlupa bahawa di Malaysia, Perlembagaan kita merupakan undang-undang tertinggi sekali.

Perlembagaan mestilah dijunjung dan semangat asal Perlembagaan itu mestilah terus hidup. Sebarang undang-undang atau dasar yang cuba mencabuli semangat Perlembagaan kita tidak boleh kita biarkan. Mempertahankan keluhurannya adalah tanggungjawab setiap warga negara ini. Dewasa ini semakin banyak pihak cuba memperkenalkan undang-undang bersifat keagamaan. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan kepercayaan.

Sesiapa yang menentang semangat kepelbagaian kaum dan keharmonian pelbagai kepercayaan di negara ini melakukannya atas kepentingan diri sendiri semata-mata, dan sekiranya tidak ditangani, maka asas yang menjadi tapak berdirinya negara ini berada dalam keadaan bahaya.

Kenyataan 25 orang bekas Pegawai Tinggi Melayu baru-baru ini supaya rakyat Malaysia menilai kembali hal-hal melibatkan agama Islam di dalam dasar-dasar dan tadbir urus negara sangat kena pada waktunya. Mereka telah melontarkan satu isyarat kecemasan kepada semua rakyat Malaysia tentang bagaimana agama dan kaum telah dipolitikkan dengan melampau sekali.

Kuasawan-kuasawan sudah sampai ke tahap sanggup menggunakan retorik agama untuk menyerang sistem yang terbina dari kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Semuanya tidak lain demi kelangsungan hayat politik mereka. Saya percaya kebimbangan 25 orang bekas Pegawai Tinggi Melayu itu juga merupakan kebimbangan majority besar rakyat Malaysia tidak kira kaum apa pun, yang sedar akan kesan buruk mempolitikkan agama kepada negara.

Kerajaan Baru

Rakan-rakan seperjuangan yang saya hormati. DAP mahu menamatkan pemerintahan BN yang tidak adil, tamak kuasa, beramalan rasuah, dan sentiasa menindas mana-mana pihak yang menentang kebejatan mereka. Kita percaya hanya dengan persekitaran politik yang baik dari kerajaan yang baru, yakni kerajaan Pakatan Rakyat, berpaksikan prinsip mendahulukan kepentingan rakyat, barulah negara ini dapat melangkah lebih jauh ke hadapan.

Pakatan telah menjadi penggerak perubahan dan sandaran harapan rakyat. Keputusan PRU13 membuktikan gabungan Pakatan Rakyat berada di landasan yang betul. Daripada hanya 31.4% undi popular pada 2004, pengundi Malaysia membuang undi lebih besar kepada Pakatan pada 2008 dengan peratusan sebanyak 47.5%. Manakala pada 2013, hampir 52% pengundi Malaysia menyatakan melalui peti undi bahawa mereka mahukan perubahan! Kita memperoleh itu semua meskipun ditekan dan diserang dari segenap sudut oleh BN yang semakin dibenci rakyat yang sentiasa berkemampuan melakukan pelbagai taktik kotor.

Saudara dan saudari sekalian,

Malaysia sangat- sangat memerlukan sebuah kerajaan baru dengan visi jelas. Jangan sesekali kita lupa, keputusan PRU13 telah membuatkan UMNO/BN kini begitu terdesak. Seperti mana-mana hidupan yang terdesak, mereka akan melawan habis-habisan demi kelangsungan hayatnya. Rejim pemerintah akan cakarnya dan taringnya, melawan dengan sebarang bentuk taktik licik dan undang-undang zalim.

Atas sebab itu, kewibawaan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya yang akan dilaksanakan tidak lama lagi mesti diperhatikan dengan teliti. Ini kerana dengan kuasa yang BN miliki, yang sudah terbukti banyak disalahguna, muslihat mereka tentu akan cuba menyelinap di mana-mana saja ruang yang menguntungkan mereka.

Agenda Menghancurkan Pakatan

Agenda UMNO/BN untuk mencantas kelangsungan hayat Pakatan adalah hakikat umum. Kita akui sememangnya terdapat perbezaan ideologi di kalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Namun sebarang masalah berpunca dari perbezaan ini boleh diatasi. Manifesto dan platform bersama
Pakatan Rakyat itulah seharusnya menjadi tali yang mengikat kukuh persaudaraan kita. Yang mana sekiranya matlamat kebersamaan itu berjaya kita capai, hasilnya adalah sebuah negara yang makmur dan mampu berdiri megah.

Iltizam yang DAP perolehi melalui kerjasama Pakatan Rakyat pada dua pilihanraya lalu amat-amat kami hargai. Rakyat yang telah menyokong dan mengundi Pakatan pada pilihanraya lalu meletakkan harapan yang tinggi kepada Pakatan. Rakyat mengharapkan Pakatan menjadi jauh lebih elok berbanding BN. Adakah kita mahu menghampakan mereka? Mereka telah meletakkan keyakinan mereka kepada kita, apakah kita mahu robohkan keyakinan itu?

Para pengundi telah menyuarakan keyakinan mereka terhadap satu gabungan yang bernama Pakatan Rakyat. Sebab itulah matlamat politik Pakatan secara menyeluruh lebih perlu diutamakan berbanding matlamat persendirian setiap parti komponen. Kegagalan untuk mengutamakan perjuangan bersama ertinya runtuhlah kesepatakan yang menjadi harapan rakyat ini.

Titik lemah itulah yang tentu akan terus menjadi sasaran rejim BN bagi menghancurkan Pakatan. Kita harus dengan jujur bertanya kepada diri kita,

“Adakah kita mahu membiarkan diri kita terjerat oleh percaturan politik UMNO? Adakah kita mahu sekadar menari mengikut rentak gendang yang dipalu UMNO?”

Kemusnahan Pakatan bermakna kemusnahan impian rakyat Malaysia. Hancurnya harapan untuk melihat satu bentuk pemerintahan baru yang jauh lebih baik. Formula Pakatan Rakyat itu terbukti berkesan. Rakyat Malaysia telah memberikan kita peluang. Peluang ini belum tentu akan datang lagi di masa hadapan.

Pilihanraya umum 14 bakal menjadi lebih genting berbanding sebelumnya. Keadaan kewangan dan ekonomi negara ini adalah taruhannya. Kita sedang menyaksikan keangkuhan dan kerosakan berpunca dari kuasa yang berpusat pada satu rejim pemerintah. Kita benar-benar terkilan dengan kurangnya kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan sumber negara. Amalan berat sebelah dalam sistem keadilan. Juga agenda-agenda tersembunyi untuk menekan suara-suara yang berbeza menggunakan undang-undang dan dasar yang zalim.

Rakan-rakan seperjuangan yang saya hormati. Kepimpinan parti tidak akan menyimpang dari peranan dan tanggungjawab kami. Perjuangan ini tidak mudah. Tetapi tentunya lebih manis dengan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Harus diingat, bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh.