Berita

Perbincangan j’kuasa persempadanan pilihan raya Pulau Pinang ditangguh

PULAU PINANG, 15 DIS: Tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang menganggotai Jawatankuasa Urusan Persempadanan Semula Pilihan Raya mengumumkan menangguhkan perbincangan meja bulat yang dijadualkan bulan ini.

Jawatankuasa mewakili Kerajaan Pulau Pinang tersebut memohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat dalam perbincangan-perbincangan yang akan dijalankan.

Tiga wakil parti Pakatan Rakyat yang mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang itu adalah Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar (PAS), Ng Wei Aik, Ahli Parlimen Tanjong (DAP) dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (PKR).

Jawatankuasa khas itu sebelum ini telah menyusun sekurang-kurangnya dua sesi perbincangan pada bulan ini bertarikh 17 Disember di Kompleks Masyarakat Penyayang.

Manakala sesi kedua ialah pada Khamis, 18 Disember 2014 di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di Padang MPSP, Butterworth.

Perbincangan dijadualkan melibatkan NGO dan parti politik tentang cadangan yang harus diteliti SPR sebelum melaksana persempadanan semula dan mengikut prinsip ‘‘persempadanan adil, parlimen efektif’ (fair delineation, effective parliament).

Dalam kenyataan bersama itu penangguhan kepada tarikh lain akan diumumkan dalam masa terdekat.- Roketkini.com