Berita

Bebaskan ahli akademik UNIMAS dari cengkaman politik

KUCHING, 16 DIS: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) perlu memberi kebebasan kepada ahli akademik dan bukannya tekanan kepada golongan tersebut hanya kerana melakukan sesuatu yang bertentangan pandangan dengan pemerintah.

Penyelaras Pusat Khidmat DAP Tupong Aziz Isa berkata demikian bagi menggesa siasatan Polis berikutan fitnah terhadap pensyarah UNIMAS oleh penulis blog Sematan Ke Lawas dan Cetusan Kenyalang.

Menurut Aziz beberapa pensyarah UNIMAS ‘diserang’ di laman blog pro-BN kerana tindakan menjemput kartunis Zunar ke kelas Pergerakan Demokrasi dan Sosial yang dianjurkan kepada pelajar Sarjana Muda Kajian Politik dan Pemerintahan UNIMAS.

“Pandangan mereka berdasarkan kepakaran. Kajian diperolehi dari data sebenar. Soal pandangan itu diterima atau tidak, ia proses penting dalam penyuburan demokrasi di negara ini.

“Apa yang penting ialah golongan ini diberi ruang untuk menyuarakan pandangan. Jika ahli akademik antarabangsa diiktiraf karya akademik mereka, mengapa pula BN perlu menekan golongan ini? kata Aziz dalam satu kenyataan.

Tambah Aziz, kelas itu merupakan sebahagian daripada kurikulum akademik dan jemputan adalah kartunis profesional yang terlibat merakam gerakan sosial di negara ini.

Ujar Aziz. pilihan politik adalah kebebasan individu, dan pelajar UNIMAS yang mengikuti jurusan politik perlu dibekalkan dengan ilmu dari goongan berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam arena politik tanahair.

“Kita inginkan UNIMAS melahirkan graduan berkualiti dan berprinsip tanpa sebarang paksaan. Setiap pilihan politik pelajar UNIMAS harus dihormati pihak kerajaan dan pembangkang.

“Mereka adalah pewaris masa depan kepimpinan Malaysia.

Justeru itu, beliau meminta mentor UNIMAS yang dipercayai ada kaitan dengan Pemuda BN Sarawak untuk menasihati jaringannya di UNIMAS dan blogger BN untuk menghentikan fitnah kepada pensyarah dan pelajar UNIMAS. – Roketkini.com