Wawancara

Fahmi Zainol, bukan kecil anak

Nama FAHMI ZAINOL belakangan ini menghasilkan percik-percik api yang sudah sekian lama tidak melintas pandang dalam arena politik kemahasiswaan dan aktivisme kampus. Percik-percik api itu akhirnya meletup dengan lerainya rantai besi pagar Bangsar yang membelenggu Universiti Malaya sejak sekian lama, dan Fahmi dihukum ekoran peristiwa malam pagar runtuh itu dengan denda dan digantung dua semester.

Pun begitu anak muda kelahiran Pulau Pinang ini sedikit pun tidak goyang meski digegar berkali-kali oleh sekalian juak pemerintah yang sebenarnya panas punggung dengan keberanian pemimpin pelajar ini menggugat takhta kerajaan Umno dan Barisan Nasional. Tetapi siapa sebenarnya si Fahmi ini, dan kenapa universiti gagal membodohkannya?

Cerita sedikit tentang latar belakang, diri dan keluarga; benda-benda asas.

fahmi_zainol3Nama saya Fahmi bin Zainol, berasal daripada Juru, Pulau Pinang. Tahun akhir di Universiti Malaya dalam jurusan pentadbiran dan keadilan sosial. Saya minor dalam bidang akademik dan pengajian Melayu.

Keluarga semua berasal dari Pulau Pinang. Saya ada enam orang adik beradik. Sebelum ni saya mengaji di High School Bukit Mertajam, daripada tingkatan satu sampai tingkatan enam. Sebelum tu saya di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh di Bukit Mertajam.

Ada perancangan untuk sambung belajar selepas ni, mungkin di bawah UMCEDEL (Pusat Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya). Kalau tak ada aral, harapnya dapat graduasi bulan enam nanti. (wawancara dibuat sebelum UM kenakan hukuman gantung dua semester)

Macam mana boleh terlibat dengan gerakan kampus semua ni?

Saya terlibat dengan gerakan kampus ni sejak tahun pertama lagi, sejak kenal Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan diajak untuk ikut serta. Saya suka. Lepas itu saya diajak menyertai pilihanraya kampus. Saya memang minat nak bertanding, tetapi sebelum itu saya tidak ada platform. Jadi sejak itu lah saya mengenali gerakan, ikut turun demonstrasi, protes dan sebagainya.

Pro-MDi sekolah saya tak pernah diberi peluang. Teringin tapi tak ada peluang. Bila masuk universiti, saya mula rasa yang kita tak boleh mengharap orang. Kita kena cari sendiri; saya cari sendiri platform mana yang saya nak. Sejak itu jugalah saya kenal aktivis SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia), GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), dan pelbagai lagi front-front yang ada.

Di fakulti, saya juga bekas presiden jabatan saya. Dan saya juga terlibat dalam program-program ke luar negara, selain aktif dalam sukan dan juga persatuan-persatuan kampus. Pendek kata semua program saya ‘join’. Cuma bila sudah (makin) terlibat dalam aktivisme ni, kita dah tak ada masa lah.

Yang masuk program-program ni sebab apa sebenarnya? Adakah sebab bosan tak ada kerja lain?

Bagi saya aktivti di universiti ni memang buat kita banyak belajar. Tapi kita jangan ikut sangat universiti ni, kita kena cari sendiri. Universiti tak sediakan semua. Kita kena usaha lebih dan belajar lebih. Saya bukannya kebosanan di kampus, cumanya saya nak sesuatu sebagai pengisian. Sebab itu saya ini jenis cari orang, bukan orang cari saya.

Sebelum masuk universiti ni saya macam tak nampak dunia lah, tak tahu apa-apa sangat. Saya tak tahu apa erti sumbangan kepada masyarakat, semua saya tak tahu. Rasa kosong. Cuma saya dengan buku saja dulu.

Sepanjang empat tahun di UM, adakah dari pemerhatian saudara lebih ramai spesis orang yang duduk dengan buku sahaja dan tak buat benda lain?

Golongan yang cakna berkenaan masyarakat dan negara tak ramai. Mungkin tak sampai 10%. Hanya orang yang ‘eager’ sahaja yang akan cari, baki 90% hanya akan menghadap buku; atau kalaupun dia tak menghadap buku, dia dengan dunia dia lah. Dengan girlfriend atau boyfriend masing-masing, wayang dan video game.

fahmi_kuliahKamu tak tengok wayang?

Saya bila perlu saja lah. Bila rasa perlu hiburkan hati kita pergi lah. Tapi jarang lah.

Tadi ada sebut pasal golongan yang ‘eager’ dan ‘cakna’. Apa sebabnya mereka ni jadi begini?

Mungkin mulanya berpunca daripada dorongan rakan-rakan sekeliling kot. Lihat kawan-kawan dah berpersatuan, kita pun mesti tak mahu terlepas daripada berpersatuan. Dari sekolah lagi cikgu dah pesan, jangan baca buku saja tetapi kena berpersatuan. Cikgu pesan bila keluar universiti nanti orang takkan tengok berapa CGPA, dia nak tengok kegiatan kita dalam masyarakat.

Itu mungkin faktor dorongan bagi orang yang jenis ikut cakap cikgu lah.

Faktor kedua mungkin sebab sesetengah orang memerlukan sesuatu kelebihan untuk diri dia sendiri. Golongan ni mungkin sedikit. Jenis yang mencari sesuatu supaya boleh menambah nilai kepada diri dia. Jadi dia cari sendiri apa yang dia nak.

Saudara sendiri, nak apa sebenarnya?

Sebenarnya selepas STPM saya terfikir, bagaimana saya nak berhadapan dan bersaing dalam masyarakat. Setiap kali saya meninggalkan satu-satu tahap; sekolah, universiti, saya fikirkan apa nilai tambah untuk saya bersaing dengan orang yang lebih dahulu. Saya tak nak lah ke belakang, tapi sentiasa mahu ke depan.

Apa reaksi keluarga terhadap ‘keterdepanan’ saudara ni?

SaveUM8Keluarga boleh faham perubahan yang saya lalui. Dulu waktu sekolah saya boleh dikatakan terlalu selesa, saya tak ‘study’ jadi keputusan SPM pun kurang memuaskan hati. Sedih lah, tengok kawan-kawan masuk universiti. Apabila saya berdepan STPM, perubahan pada diri tu nampak ketara. Begitu juga apabila masuk universiti, keputusan yang baik-baik sampai ke rumah, kemudian dapat biasiswa, ibu ayah suka lah.

Dia tahu apa yang saya buat, perubahan yang saya lalui ini adalah betul. Mula-mulanya memang lah terkejut apabila dapat tahu macam-macam hal terjadi, itu pun sebab mereka tidak dapat maklumat sebenar tentang apa yang berlaku. Bila saya jelaskan dari awal, mereka sokong saya sepenuhnya sekarang ni. Ada juga keluarga nasihatkan supaya kurangkan sedikit, tapi bila saya bercakap secara bersemuka, keluarga redha.

‘Pergilah, Tuhan dah pilih,’ kata mereka. Ibu saya suri rumah, dan ayah saya pula bekerja di Penang Bayview Beach Resort di Batu Feringghi. Jadi ayah saya berulang alik dari Juru ke tempat kerja.

Keluarga memang ada kecenderungan politik?

Sejak saya aktif, keluarga semakin cakna dengan politik. Kalau tidak, selalunya langsung tak tahu apa yang berlaku di Malaysia ni. Di tempat tinggal saya di Taman Pelangi tu memang orang dah kenal.

UM8Taman Pelangi ni kiranya satu tempat yang ‘gelap’. Kawasan ni kawasan perindustrian, dulunya memang ramai orang Melayu. Namun lama-kelamaan orang Melayu ni semua sudah ramai yang berhijrah. Jadi sebab ia berdekatan kawasan industri, kilang-kilang banyak menyewa rumah di situ untuk pekerja mereka yang ramainya warga asing. Maka kawasan tu jadi ‘black area’, banyak jenayah, ada kes bunuh, dadah, pergaduhan dan macam-macam lagi. Jadi di situ lah saya ‘survive’.

Depan rumah saya warga Vietnam, jiran sebelah warga Indonesia, bawah Myanmar. Bila sebut kata tinggal di Taman Pelangi ni, orang di Pulau Pinang akan pandang rendah. Jadi bila masuk universiti ni kita fikir bagaimana nak ubah kehidupan keluarga untuk keluar daripada tempat gelap tu.

rempuh_UMAdakah sebab saudara melihat sendiri jurang kaya-miskin yang begitu teruk menyebabkan saudara merasakan, ‘tak boleh jadi, aku kena lawan’?

Selepas melihat ibu dan ayah saya bergelut dengan pekerjaan masing-masing dan nasib kami sekeluarga yang tidak banyak berubah, saya merasakan mungkin sampai ke mati pun begitulah nasib kami sekeluarga. Bila saya tengok kawan-kawan yang datang daripada keluarga yang kaya berada, mereka nampaknya bertambah kaya. Tapi akhirnya kami terus hidup begini. Jadi saya mencari-cari sesuatu untuk mengeluarkan keluarga daripada kehidupan yang macam ni.

Sejak dari insiden rempuh pagar UM, orang melihat anda sebagai alat dan kuda pembangkang. Adakah anda alat dan kuda pembangkang?

Saya rasa pembangkang tak cari saya. Saya yang pergi cari berjumpa. Tak pernah mana-mana pemimpin pembangkang peduli nak datang cari saya. Bagi saya generasi politisi lama ini semua suatu hari nanti akan pergi meninggalkan kita. Jadi kita lah pelapis untuk menggantikan mereka.

fahmi_anwarApa perasaan waktu pertama kali terfikir untuk bawa Anwar Ibrahim masuk UM?

Bagi saya kerajaan perlu nilai balik kekuatan mahasiswa. Kerajaan ada kuasa polis, kuasa mentadbir, dia pegang kuasa universiti, malah semua kuasa dia pegang. Mahasiswa ada apa? Tapi dengan tanpa apa-apa kuasa tu kami dapat bawa masuk Anwar Ibrahim.

Saya tahu, selepas 40 tahun Anwar tak pernah masuk UM, kita akan memberi kesan yang amat besar sekiranya berjaya membawa beliau masuk ke kampus. Dan saya rasa dari situ gelombang perubahan kali kedua akan muncul. Sejak daripada peristiwa tu bukan orang muda sahaja yang bercakap tentang hal itu, malah golongan tua juga turut bercakap mengenai apa yang telah terjadi di Universiti Malaya.

Tapi mahasiswa tak rempuh pagar UM kan? Apa yang terjadi sebenarnya pada malam tu?

Kita dah bincang dengan pihak pengurusan universiti supaya mereka benarkan kita masuk. Tapi mereka tak bagi. Di peringkat Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) kita putuskan kalau universiti tak bagi masuk, kita akan buat di depan pagar.

Tetapi anak-anak muda yang bersemangat tinggi ni, dia gegarlah pintu pagar tu. Akhirnya mangga tu tercabut. Mereka sekadar merantai pagar universiti.

academic_freedomDan apabila pintu pagar tu sudah terbuka, takkan saya sendiri nak halang kawan-kawan daripada masuk. Mereka pun mahasiswa juga.

Sebab itu kita kena soal kenapa pihak pentadbiran tutup pagar. Kenapa kelas dibatalkan? Kenapa lampu-lampu digelapkan? Kenapa kami tak boleh masuk? Kalau pihak universiti buka pagar tu pastilah anak muda mahasiswa tidak merempuh pagar universiti.

Saya rasa Datuk Seri Anwar berasa cukup bangga dengan anak muda melalui reaksi beliau pada waktu tu. Saya sendiri pun tidak menjangka akan sebegitu ramai orang yang hadir pada malam tersebut. Apabila saya naik kenderaan pacuan empat roda bersama beliau, saya tidak jangka mahasiswa sudah ramai menunggu berderet di dalam kawasan kampus sampai ke Dewan Tuanku Canselor. Bagi saya itu sejarah yang telah berlaku di Universiti Malaya. – Roketkini.com