Berita

Hudud alih tumpuan skandal RM42 bilion 1MDB

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Langkah kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud hanya memberi kegembiraan kepada UMNO, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, perbincangan pelaksanaan hudud dalam sidang DUN Khas Kelantan 29 Disember ini secara tidak langsung mengalih tumpuan umum dari isu lebih penting iaitu skandal hutang RM42 bilion syarikat 1Malaysia Development Board (1MDB).

“(Tidakkah) sidang DUN Khas Kelantan pada 29 Disember ini akan menjadi ‘rahmat’ (manna from heaven) kepada Najib, kerana dapat mengalih tumpuan dari skandal mega 1MDB,” tegas Kit Siang dalam kenyataannya, hari ini.

Kit Siang berkata, pentadbiran Najib ‘gembira’ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, langsung tidak memberikan sebarang reaksi dengan pengumuman sidang DUN Khas Kelantan.

“Pemimpin DAP dan PKR termasuk Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob mengenai pelaksanaan hudud, anehnya Jamil langsung tidak terkejut,” ujar Kit Siang..

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, pendirian DAP terhadap hudud dan pelaksanaannya sama dengan pendirian tiga Perdana Menteri terawal bahawa hudud bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

“Apakah ada sesiapa mahu mengatakan tiga Perdana Menteri terawal negara bukan Muslim yang baik?

“Tiada seorang pun akan lupa bahawa Tunku Abdul Rahman merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) selama tiga tahun,” ujarnya.

Pada 14 Disember lalu,  Ahmad Yaakob mengumumkan persidangan Khad DUN bagi membentangkan pindaan terhadap hukum hudud.

Katanya, pindaan itu perlu dibuat terlebih dahulu sebelum Rang-rang undang persendirian berkaitan pelaksanaan hudud dibawa ke Parlimen. – Roketkini.com