Rencana

Hudud, politik dan slogan

Sebelum ini saya ada menulis tentang pengalaman kecil saya berkisar tentang slogan dan mentaliti orang Melayu yang terpinggir dan telah diindoktrinasikan oleh UMNO.

Slogan mereka ‘Biarlah aku susah, janji UMNO menang’.

Mentaliti ini rupa-rupanya menular dikalangan banyak lagi golongan, bukan sahaja dalam UMNO bahkan turut meresapi ke dalam rakan-rakan konservatif dalam PAS yang bercita-cita mahu melaksanakan Hudud di Kelantan.

Bagi Totok UMNO yang lebih berpendidikan dari Melayu-melayu terpinggir, maka ungkapan mereka pula sedikit berlainan, tetapi rimanya lebih kurang sahaja, “Biarlah ekonomi teruk, janji Malaysia masih aman”.

Sebaliknya bagi PAS, barangkali ungkapannya berbunyi, “Biarlah korupsi, ketirisan, kecuaian urustadbir berlaku, janji ada Hudud”.

Senang cakap, biarlah anda jahat dan menipu, janji anda itu seorang Melayu Islam. Atau, biarlah anda malas membaca, janji anda ada menyimpan Quran atas rak rumah anda bersama-sama dengan rak pinggan mangkuk dan trofi hadiah.

Apakah ini dinamakan keyakinan? Beriman? Saya jadi keliru dengan faham sebegini. Atau adakah saya terlalu bebal untuk memahami maksud yakin, percaya – iman?

Untuk jawapan kepada persoalan ini, awal-awal lagi saya menegah diri saya dari menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran atau Hadis, bukan kerana saya tidak mampu, tetapi kerana saya tidak mahu menggunakan agama sebagai hujah politik saya.

Kerana, jika hujah politik saya ini tidak betul, maka hentamlah hujah saya ini kerana hujah dan saya sendiri tidaklah maksum seperti mana hujah Nabi atau mereka yang berlagak sebagai nabi. Hujah saya ini berdasarkan rasional akal budi serta bantuan ide-ide dari pembacaan yang tidaklah sebanyak mana.

Jika pandangan saya salah, maka sayalah yang bersalah, bukan agama saya, nabi saya atau Tuhan saya. Agama, Nabi dan Tuhan saya terlalu suci untuk dipersalahkan dalam hal politik keduniaan ini.

Tuhan, nabi dan agama saya itu saya telah ‘save’kan dalam ‘hard disk’ hati dengan penuh kesucian kerana saya disini sedang bergelumang dengan urusan dunia yang kotor, jijik dan jahil, menurut pandangan bijak pandai agama hari ini.

Sikap Negatif

Saya berpendapat bahawa, dari semua kekeliruan dan dilema ini akhirnya akan membawa kita, keluarga kita dan masyarakat kita ke suatu titik kejahilan yang tiada taranya dalam sejarah bangsa kita.

Maksudnya, oleh kerana kita tiada cukup ilmu, maka kita berserah bulat-bulat pada Tuhan dan kehendak agama mengikut kefahaman kita yang cetek dan meragukan ini. Pada masa yang sama, kita tidak pula gigih belajar dan tekun memahami lautan ilmu itu.

Apabila kita menjadi susah, tak mampu bersaing, belum berjaya, tidak berupaya membangun dan maju maka kita serahkan semua ketidakbolehan atau ‘kemiskinan ilmu’ kita ini kepada Tuhan dan menyifatkannya sebagai suatu takdir atau kehendakNya.

Dan kita berharap Tuhan akan membalas ‘kemiskinan’ kita  ini agar menyelesaikan urusan kita sendiri.

Kemudian kita berdoa menitiskan air mata berbaldi-baldi agar dihancurkan segala musuh-musuh Islam yang memundurkan umat Islam dan pendoa itu sendiri.

Kita kata kita beriman, tetapi kita tidak ada sikap sebagai orang yang beriman. Semua benda nak salahkan orang lain, Cinalah, Yahudilah, Kapitalislah, Liberallah, Demokrasilah, Plurismalah dan sebagainya.

Kita malu untuk mengaku kelemahan kita, kecuaian kita, kemalasan kita dan kita bersikap negatif kepada diri, dunia dan sekelilingnya.

Kita mempertikaikan pelaksanaan Hudud, bukan Hudud. Jadi tidak timbul isu hina Hudud atau hina Islam. Tetapi, jika masih beranggapan bahawa hujah saya ini sebaliknya, maka saya berlindung dengan nama Tuhan daripada noda mereka yang jahil.

Untuk melaksanakan Hudud, pihak pelaksana itu sendiri perlu berlaku adil dan dilihat adil, ini persepsi yang mesti wujud.

Sistem hari ini perlu lebih adil dan telus. Adakah sistem di Kelantan itu telus?

Amalan dan dasar ekonomi kita perlu adil. Adakah amalan ekonomi kita telah berlaku adil kepda semua kaum dan golongan?

Adakah Hudud ini untuk rakyat biasa sahaja, bagaimana dengan golongan bangsawan dan elit politik? Adakah pemimpin-pemimpin yang ada bersikap adil kepada rakyat, termasuk pemimpin PAS itu sendiri?

Jika ini semua belum wujud, maka wujudkan dululah.

Mahdzir Ibrahim, ahli DAP, pendukung seni dan kebudayaan