Berita

Isu rampas buku Kristian, Kit Siang saran polis diberi kursus peka agama

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan polis dihantar mengikuti kursus kepekaan supaya mereka lebih menghormati hak kebebasan beragama.

Katanya, tindakan polis Tangkak merampas 31 buku pujian Kristian dengan kalimah Allah dan menyoal siasat paderi Cyril Mannayagam beberapa hari lalu sama sekali menyalahi undang-undang.

“Polis mesti belajar dari kejadian buruk ini dan perlu lebih peka terhadap hak serta sensitiviti masyarakat majmuk pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

“Polis perlu dihantar mengikuti kursus supaya menjadi orang pertama menghormati sensitiviti dan hak beragama, mengetahui perkembangan undang-undang, sebelum melakukan tangkapan,” kata  Kit Siang dalam kenyataan.

Tambahnya, penggunaan Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan terhadap rampasan buku-buku Kristian adalah tidak sah.

Ini kerana polis terikat dengan keputusan Mahkamah Agung 1988 dalam kes Mamat Daud bahawa peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Mahkamah pada tahun 1988 memutuskan Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak mengikut perlembagaan dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang tindakan undang-undang dalam hal-hal Islam.

Keputusan majoriti dalam kes Mamat Daud juga menyebut bahawa kesalahan mengikut Seksyen 298A hanya terpakai bagi orang Islam.

Pada 5 Disember lalu, polis merampas 31 naskah buku-buku pujian Kristian dan menyoal siasat Cyril di Tangkak, Johor.

Buku bertajuk ‘Pujian kepada Tuhan Allah;’ adalah untuk Orang Asli di bawah di Gereja St Andrew Muar.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Dennis Lim kemudiannya memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan. – Roketkini.com