Berita

MP Pakatan dihalang serah memo kepada UM

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Rombongan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dihalang bertemu Naib Canselor Universiti Malaya untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan universiti itu terhadap lapan mahasiswanya.

Rombongan yang disertai Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai ), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), N Surendran (Padang Serai) dan Khalid Samad (Shah Alam) dihalang memasuki bangunan Canselori UM hari ini.

Mereka hanya dibenarkan menyerahkan memorandum kepada pegawai universiti tanpa berpeluang bertemu dan berdialog dengan pentadbiran UM.

Ujar Teresa, layanan UM terhadap wakil rakyat Pakatan menunjukkan universiiti itu tidak langsung mempunyai budi bahasa bagi membincangka nasib mahasiswa yang teraniaya.

“Ini sesuatu yang sangat biadab di pihak Naib Canselor. Cara mereka menangani mahasiswa sangat teruk. Mereka sangat partisan.

“Bagaimana ahli politik BN boleh sewenang-wenangnya masuk ke kampus, tetapi kami dihalang?” soal Teresa yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP.

Kandungan memorandum menyatakan sokongan 39 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kepada lapan mahasiswa UM8 dan mengutuk tindakan tatatertib dibuat UM.

Lapan mahasiswa dikenali sebagai ‘UM8’ ialah Syamimi Munira Mohamed, Yu Hong,Khairul Anwar, Adam Fistival Wilfreid, Abraham Au, Khairul Najib Hashim didenda RM150 setiap seorang.

Manakala Fahmi Zainol digantung dua semester dan didenda RM600 dan Safwan Shamsuddin digantung satu semester selain denda RM300.

Justeru itu Teresa yang pernah melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di UM berkata situasi itu amat memalukan kerana begitu banyak kerenah dan saringan untuk mendapatkan kebenaran bertemu pihak pentadbiran

“Waktu saya belajar di USM dalam tempoh 1986 – 1990, persatuan pelajar selalu menganjurkan ceramah perdana atau perbahasan disertai ahli politik BN dan pembangkang.

“Sekarang pelajar kita dilayan seperti budak-budak sekolah. Pihak universiti ingin mengawal kebebasan dan fikiran mereka,” kata Teresa. – Roketkini.com