Berita

DAP ajak bersolidariti bersama BFM

KUALA LUMPUR, 17 DIS – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendenda stesen radio BFM ekoran penyiaran wawancara bersama ahli akademik Reza Aslan wajar dikecam.

BFM didenda RM10,000 berikutan wawancara bersama Reza yang mengkritik larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan-Islam didakwa melanggar syarat-syarat pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok dalam kenyataan mengulas hal tersebut menggesa rakyat Malaysia supaya menuntut SKMM memansuhkan syarat-syarat yang mengekang itu, yang menurutnya bertentangan dengan prinsip kebebasan media.

“Rakyat Malaysia perlu menuntut hak dan kebebasan untuk mendengar semua pendapat,”

“Bagaimana kita boleh ada demokrasi terbaik di dunia sekiranya wujud kekangan terhadap kebebasan media oleh SKMM?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Menurutnya, syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh SKMM terhadap penyiar serta denda yang dikenakan kepada BFM menunjukkan bahawa kerajaan takut rakyat akan terlibat dalam perdebatan sihat dan tidak komited terhadap transformasi politik yang ia janjikan.

Teresa turut menyatakan sokongan terhadap kempen ‘I pledge RM10 for BFM’ di laman sosial Facebook yang dimulakan oleh aktivis Center for Independent Journalism (CIJ), Masjaliza Hamzah.

“Sewaktu saya menyatakan komitmen saya (untuk menyumbang kepada BFM) pada jam 12.20 tengah hari tadi, sudah ada 1,986 ‘like’ di laman tersebut,” ujarnya.

“Saya menyeru supaya lebih ramai rakyat Malaysia melawat laman tersebut dan memberikan sumbangan sebagai tanda solidariti bersama BFM, dan membantah pelanggaran kebebasan media oleh SKMM,” tambah beliau. – Roketkini.com