Berita

Demokrasi bermakna patuh kepada dasar bersama, bukan main ikut suka

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Dasar Bersama Pakatan Rakyat harus dipatuhi setiap parti komponen sambil mengelak daripada mengambil keputusan politik sendiri, demi memastikan Pakatan Rakyat terus disokong semua lapisan masyarakat.

Naib Pengerusi DAP Bandar Utama Edry Faizal Yusof dalam kenyataannya, menyelar kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairuddin Razali yang menyalahkan DAP kerana menegur parti Islam itu.

Konon katanya, teguran DAP terhadap Rang Undang-Undang Hudud Kelantan boleh menghilangkan kepercayaan rakyat Malaysia kepada ketiga-tiga parti DAP, PAS dan PKR.

“Jika beliau faham demokrasi, beliau pasti sedar bahawa DAP memang meraikan perbezaan pandangan, tetapi perlu menegur jika dasar atau pelaksanaan sesuatu yang tidak pernah disepakati tiba-tiba mahu dijadikan dasar pentadbiran,” ujar Edry.

Usaha PAS Kelantan membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Negeri ditentang oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain. Ini kerana menurut Edry, ia tidak menepati Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui sejak tahun 2009 lagi.

Edry turut menekankan perlunya PAS untuk terus mematuhi Dasar Bersama itu yang tidak menyatakan hudud sebagai agenda Pakatan Rakyat.

“Sudah tentu setiap parti berhak mengembangkan wacana ideologi masing-masing. DAP tidak pernah mencampuri urusan itu. Tetapi apabila kepentingan persendirian PAS sudah mula memasuki urusan dasar, sedangkan kepentingan itu tiada di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, sudah tentu DAP perlu memberikan teguran.

“Bukan kerana benci, tetapi mahu memperingatkan sahabat sendiri agar tidak tersasar jauh dari apa yang disepakati,” tambah beliau lagi.

Menurutnya juga, demokrasi bukan bermakna sesebuah parti boleh berbuat sesuka hati tanpa mempedulikan suara rakyat selepas rakyat memilih parti tersebut untuk menjadi kerajaan.

“Bukankah itu perangai UMNO dan Barisan Nasional yang kita tentang selama ini? Atau apakah di kalangan Pakatan Rakyat sudah mahu menjadi seperti UMNO dan Barisan Nasional?” soalnya tegas.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat PKR Latheefa Koya juga telah menyelar tindakan PAS itu, sambil mempersoalkan sama ada ia bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yag lebih besar seperti skandal 1MDB.

PAS Kelantan dijangka akan mengadakan sidang DUN khas pada 29 Disember ini sebagai langkah awal pembentangan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan hudud di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. – Roketkini.com