Berita

Ekonomi negara makin tenat, Najib digesa segera bertindak

JOHOR BAHRU, 17 DIS: DAP mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya segera mengadakan sidang tergempar Parlimen pertengahan atau akhir Januari tahun depan untuk menangani kemelut ekonomi negara.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, mesyuarat tergempar perlu diadakan secepat mungkin dan bukannya menunggu sehingga 9 Mac seperti yang dijadualkan.

“Najib perlu mengumumkan krisis ekonomi negara untuk menyatukan semua rakyat supaya dapat memberi tumpuan kepada pelbagai cabaran ekonomi yang dihadapi negara.

“Malaysia dianggap titik lemah Asia Tenggara berikutan beberapa kejatuhan pasaran matawang asing dan ekuiti, serentak dengan kejatuhan nilai komoditi dunia, termasuk minyak mentah dan lain-lain,” katanya ketika berucap dalam forum 1MDB di Gelang Patah, semalam.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga memohon Najib untuk membentuk Majlis Menyelamatkan Ekonomi Nasional dari kedua-dua belah pihak, BN dan Pakatan Rakyat.

“Majlis Menyelamatkan Ekonomi Nasional bi-partisan antara PR dan BN harus dipertanggungjawabkan untuk membentangkan kepada sidang tergempar tersebut kerangka untuk menyatukan semua rakyat Malaysia bagi berhadapan krisis ekonomi yang bakal melanda negara.

“Parti-parti Pakatan Rakyat dan pimpinannya bersedia untuk memberi respon positif dalam keadaan kecemasan nasional dan bekerjasama dengan Perdana Menteri dan juga kerajaan Umno-BN demi kepentingan negara, melangkaui kepentingan parti dan individu,”  ujarnya.

Konsultan kredit antarabangsa Nicholas Spiro seperti dilaporkan beberapa media semalam menyatakan bahawa Malaysia muncul sebagai tempat paling lemah dalam Asia Tenggara berikutan penurunan semasa harga minyak mentah dunia dan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang melemahkan ringgit berbanding Dolar AS.

Spiro berkata, satu pertiga sumber Malaysia datang daripada eksport minyak dan gas, boleh menyebabkan kewangan awam negara berada dalam keadaan membimbangkan, oleh itu kredibiliti polisi fiskal kerajaan kini bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015.

Beliau juga memberi amaran kejatuhan harga minyak boleh memburukkan lagi kedudukan keseimbangan bayaran Malaysia, berkata lebihan akaun semasanya sudah ‘menurun dengan teruk’ pada Oktober, dan beliau menjangka ia akan terus menyusut jika harga minyak masih tidak stabil. – Roketkini.com