Rencana

Mengapa mahu mungkir janji persetujuan bersama?

Kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali menuduh teguran DAP kepada PAS tentang isu hudud sebagai menghalang hak demokrasi PAS dan menjadi punca retaknya hubungan Pakatan Rakyat adalah dangkal sekali.

DAP sejak awal sudah menerima bahawa sememangnya terdapat perbezaan pegangan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat. DAP juga yakin perbezaan ini dapat disatukan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Dasar Bersama itu bukan sekadar alat melawan Barisan Nasional semata-mata tetapi satu titik temu nilai-nilai yang dikongsi ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi menjamin perpaduan. Sebuah dokumen pemuafakatan yang meletakkan matlamat yang disepakati kesemua parti, sekaligus rakyat Malaysia pelbagai latar belakang sebagai tumpuan dan asas perjuangan bersama.

Sudah tentu setiap parti berhak mengembangkan wacana ideologi masing-masing. DAP tidak pernah mencampuri urusan itu. Tetapi apabila kepentingan persendirian PAS sudah mula memasuki urusan dasar, sedangkan kepentingan itu tiada di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, sudah tentu DAP perlu memberikan teguran. Bukan kerana benci, tetapi mahu memperingatkan sahabat sendiri agar tidak tersasar jauh dari apa yang disepakati.

Bagaimana teguran untuk kebaikan bersama dan seruan berpegang teguh apa yang disepakati boleh meretakkan Pakatan Rakyat? DAP tidak berganjak iltizamnya pada Dasar Bersama Pakatan Rakyat. DAP sentiasa memperjuangkan apa yang telah disepakati. Kalau itu dikatakan cuba meretakkan hubungan Pakatan Rakyat, bagaimana pula perpaduan boleh dicapai dengan mengenepikan dasar yang disepakati bersama?

Datuk Mohd Khairuddin tidak sepatutnya menyalahkan DAP. Jika beliau faham demokrasi, beliau pasti sedar bahawa DAP memang meraikan perbezaan pandangan, tetapi perlu menegur jika dasar atau pelaksanaan sesuatu yang tidak pernah disepakati tiba-tiba mahu dijadikan dasar pentadbiran.

UMNO dan Barisan Nasional amat bimbang apabila Dasar Bersama Pakatan Rakyat dibentangkan kepada rakyat. Ini kerana Dasar Bersama itu menumpukan kepada kebaikan untuk semua rakyat meskipun tiada sebarang istilah berbahasa Arab. Tiada rakyat yang dipinggirkan dari manfaatnya. Sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional amat gembira apabila parti-parti komponen bertindak membelakangi persetujuan bersama kerana mereka tahu perbuatan itu akan melemahkan Pakatan Rakyat.

Harus diinsafi bahawa demokrasi bukan bermakna selepas rakyat memilih parti untuk menjadi kerajaan, parti itu boleh berbuat sesuka hati tanpa mempedulikan suara rakyat, termasuk golongan minoriti. Bukankah itu perangai UMNO dan Barisan Nasional yang kita tentang selama ini? Atau apakah di kalangan Pakatan Rakyat sudah mahu menjadi seperti UMNO dan Barisan Nasional?

Datuk Mohd Khairuddin sendiri mengakui bahawa manifesto ketika PRU lepas berasaskan Dasar Bersama yang di dalamnya tidak ada menyebut tentang hudud. Jadi jika sudah mengakui, mengapa perlu menembak kaki sendiri?

Sepatutnya semua parti komponen Pakatan Rakyat mencurahkan lebih usaha merealisasikan kandungan Dasar Bersama dan manifesto yang telah disepakati kerana itu janji kita kepada rakyat, bukan menyimpang darinya semata-mata untuk kepentingan parti sendiri.

Edry Faizal ialah Naib Pengerusi DAP Bandar Utama dan Penyelaras Sekolah Demokrasi