Berita

300 kakitangan JKR Sabah tiada kenaikan gaji 10 tahun

Kecewa dengan wakil kerajaan yang tidak membela, jurucakap kakitangan JKR Sabah, Ali Hussin (kiri, depan) mengadukan hal tersebut kepada ADUN Sri Tanjong, Chan Foong Hin (tengah, depan)

TAWAU. 19 DIS: Kira-kira 300 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang enggan dipindahkan ke syarikat swasta didiskriminasi, apabila tidak dinaikkan gaji dalam tempoh selama sepuluh tahun, dedah ADUN Sri Tanjong, Chan Foong Hin.

“Tak masuk akal kerana perkara ini berlaku dalam Jabatan Kerja Raya,” kata Chan dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau dimaklumkan jurucakap pekerja JKR Sabah Ali Hussin bahawa sejak 2004, kira-kira 300 kakitangan JKR Sabah diarahkan berpindah ke syarikat penyenggaraan yang diswastakan dengan enam daripadanya di Tawau.

Namun menurut Ali, mereka diberi pilihan bergabung dengan syarikat swasta pada 2004 tetapi menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu terlepas manfaat kakitangan awam seperti pencen.

“Sejak itu, gaji mereka tertangguh selama 10 tahun dan tidak menerima sebarang kenaikan pangkat ke gred lebih tinggi dalam perkhidmatan.

“Ini tindakan diskriminasi. Kelihatan seperti JKR memaksa mereka untuk meletak jawatan, bukan? ujar Chan menyeru JKR Sabah menjelaskan isu tersebut secara terbuka.

Naib Pengerusi DAP Sabah itu menggesa kerajaan Sabah mencontohi Pulau Pinang yang tidak menswastakan perkhidmatan awam dan tidak mengurangkan jumlah kakitangan, dalam masa sama masih berupaya meningkatkan tahap kecekapan.

“Sebagai contoh Pulau Pinang menggunakan pendekatan berbeza melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menamatikan semua kontrak pembersihan dan kutipan sampah dengan kontraktor swasta yang kebanyakannya mengupah pekerja asing tidak mahir bergaji rendah.

“Berbanding kontraktor sampah yang mungkin kroni kerajaan sebelum ini menggunakan pekerja asing untuk keuntungan mereka, MPSP mengambil 2,469 rakyat Malaysia pada kadar upah RM1,500 sebulan.

“Walaupun kos meningkat 50 peratus, Pulau Pinang berjaya mencipta 2,469 pekerjaan untuk keluarga biasa, yang kemudiannya membuktikan bahawa mereka boleh menjadikan negeri ini lebih ‘bersih dan hijau’, ujar Chan.

“Mengapa Sabah tidak mengurangkan projek penswastaan dan kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan peluang pekerjaan di ambang kelembapan ekonomi tahun depan? soal Chan. – Roketkini.com