Berita

Bukan hudud, keutamaan orang Islam di Malaysia banteras rasuah

BUKIT BENDERA, 19 DIS: Keutamaan rakyat Malaysia yang beragama Islam adalah berusaha membanteras rasuah, akar kepada segala kejahatan yang berlaku dalam masyarakat, kata Setiausaha DAPSY Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.

Syerleena berkata demikian sebagai jawapan kepada cabaran Ahli Majlis Syura Ulama PAS Zaharudin Muhammad kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk berdialog berhubung isu hudud.

“Biar kita berdua berdebat tentang hal ini. Kita sewajarnya berbincang tentang hal ini berasaskan fakta, bukan emosi mahupun sebarang bentuk ancaman supaya seluruh Malaysia memahami betapa seriusnya isu ini.

“Hidup dalam masyarakat berbilang budaya, menjadi fitrah untuk kita mempersoalkan idea ini secara panjang lebar,” kata Syerleena dalam satu kenyataan.

Kata Syarleena, DAP percaya dengan usaha mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan gender dalam usaha mendaulatkan kesaksamaan dan solidariti.

“Kami percaya kepentingan mengekalkan keharmonian hubungan antara kaum, sesama warga Malaysia dari setiap lapisan kerana inilah maksud demokrasi dan kemajuan evolusi sosial,” ujarnya.

DAP berpendirian undang-undang hudud bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan asas negara sekular dengan Islam agama rasmi Persekutuan dan kebebasan beragama dijamin buat agama-agama lain.

Pendirian tersebut diambil oleh tiga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein.

“Sekular tidak bermakna DAP menentang Islam, atau apa jua agama. Maksud sekular ialah kita dapat bertoleransi, bermesra dan menghormati semua agama.

“Kami percaya bahawa semua orang dilihat sama di mata undang-undang,” ujar Syarleena.

Ini kerana wujud kebimbangan bahawa apa yang diusahakan Pakatan Rakyat selama ini sebagai perikatan politik untuk perubahan yang diperlukan di Malaysia musnah kerana perbezaan idea dan kesilapan strategi politik.

“Mungkin Zaharudin patut bertanya pada dirinya. Adakah beliau menentang demokrasi, kebebasan, keadilan sosial, hak asai manusia, kesaksamaan gender dan peluang saksama? soal Syarleena. – Roketkini.com.