Berita

“Kuota wanita 30 peratus langkah awal tamatkan monopoli gender dalam politik”

GEORGETOWN, 23 DIS: Penetapan kuota 30 peratus wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) adalah langkah awal menamatkan monopoli gender dalam politik, kata Ketua Wanita DAP Chong Eng.

Namun katanya, tindakan itu mendapat perhatian memberangsangkan, namun tidak kurang kritikan dihadapi DAP atas langkah drastik itu.

“Ada yang kata cara sebenarnya melalui sistem meritokrasi, dan sistem kuota tak perlu jika wanita punya kemampuan.

“Ada pula yang berpandangan tidak adil untuk kaum lelaki, bahkan ada juga yang rasa ia adalah diskriminasi terhadap kebolehan wanita,” kata Chong dalam satu kenyataan.

Justeru itu beliau menjelaskan, 30 peratus sistem kuota hanyalah permulaan untuk mempromosi persaingan adil, dengan mengambil contoh Parti Buruh di Australia yang melaksanakan sistem sama pada akhir 90-an.

Setelah Parti Buruh melaksana sistem itu pindaan baru dengan mengambil nisbah 40:40:20, iaitu 40 peratus untuk lelaki, 40 peratus untuk wanita, dan 20 peratus persaingan terbuka.

Pelaksanaan sistem itu memastikan setiap jantina mempunyai perwakilan setara di negara itu.

“Saya tak sangka polisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mahu menamatkan diskriminasi terhadap wanita menjadi ‘diskriminasi’ yang lain pula.

“Saya tak jangka perkara mengarut ini timbul. Lebih-lebih sekarang ini kebenaran pun boleh diputar belit.” ujar Chong yang hairan dengan kritikan mengarut tersebut.

Chong memberitahu, antara maklum balas diterimanya adalah dakwaan DAP bahawa menyamakan golongan wanita dengan golongan Orang Kurang Upaya.

Kononnya ini kerana sistem kuota digunakan untuk golongan kurang bernasib baik, agar mereka boleh bersaing dengan orang lain.

“Nampaknya, profesional dan wanita berjaya pun terkilan, mereka berpendapat wanita sama taraf dengan lelaki, jadi mereka itu tidak perlu dibantu,” kata ADUN Padang Lalang tersebut.

Jelasnya  tindakan afirmatif DAP melalui sistem kuota 30 peratus bertujuan menamatkan diskriminasi dan mempromosikan kesetaraan gender.

“Masyarakat yang adil sentiasa memastikan semua warganya dalam setiap bidang mempunyai peluang yang saksama untuk bersaing.

“Dalam hal ini jurang lelaki dan wanita dalam bidang politik dan ekonomi amat ketara, dan kedua-dua bidang ini umumnya tidak mesra jantina.

“Saya menyeru semua pihak menyokong usaha ini dari sibuk menghukum.

“Kalau anda tidak boleh sokong usaha kami, jangan pula meruntuhkannya,” tegas Chong..- Roketkini.com