Berita

Masalah PATI tak pernah selesai, bila lagi Pairin nak bertindak?

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, mimpi ngeri masalah 40 tahun PATI di Sabah bertambah parah jika tidak ada langkah tegas diambil agensi kerajaan yang terbukti terlibat.

Justeru itu, beliau menggesa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Laporan RCI Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil tindakan tegas berhubung masalah Pendatang Tanpa Izin (PATI)

“Dalam keterangannya sebelum Laporan RCI Sabah, Pairin menekankan kesungguhan mengambil tindakan tegas untuk menyelesaikan masalah PATI selama empat dekad.

“Persoalannya sekarang, adakah Pairin akan memberi cadangan dalam sebulan satu Pelan Tindakan untuk menyelesaikan mimpi ngeri ini? katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Kit Siang, adalah amat mengejutkan apabila Laporan RCI tidak membuat sebarang cadangan untuk mengenakan tindakan tegas seperti mengarahkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Peguam Negara menyiasat penjawat awam serta pemimpin politik yang terlibat mengeluarkan kad pengenalan (IC) secara haram kepada PATI, sekaligus mendakwa mereka ke mahkamah jika bukti mencukupi.

“Adakah ini kemudiannya dapat menamatkan kemasukan PATI, membatalkan kad pengenalan haram, memastikan daftar pemilih bersih dan menghukum mereka yang menyalahi undang-undang? soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Menurutnya, bukti dalam pendengaran awam Laporan RCI Sabah menunjukkan kelemahan ketara Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Antaranya kata Kit Siang, Jabatan Imigresen seolah-olah ‘melepaskan’ ratusan ribu PATI memasuki Sabah termasuk mengeluarkan dokumen pas lawatan IMM13 yang menyalahi undang-undang.

“JPN menggunakan kuasanya mengeluarkan kad pengenalan kepada PATI tanpa dokumen sokongan yang sah.

“Ini menghairankan kerana rakyat Sabah sendiri terutama di kawasan pedalaman begitu susah untuk mendapatkannya.

“SPR pula membenarkan pemegang kad pengenalan haram didaftar sebagai pengundi tanpa, mengesahkan mereka benar-benar seorang warga Malaysia,” kata Kit Siang. – Roketkini.com