Berita

Jelaskan pelan pendapatan VEP Tambak Johor dan Linkedua

JOHOR BAHRU, 24 DIS: Kerajaan Pusat digesa menjelaskan proses pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang memberi pendapatan besar kepada Johor.

ADUN Senai Wong Shu Qi menggesa Pusat bersikap telus dalam isu VEP sekiranya mahu rakyat di negeri ini bersetuju dengan rancangan tersebut.

“Kami tidak membantah pelaksanaan (VEP), namun caj dikenakan harus dilihat sebagai pendapatan lebihan dn harus dikembalikan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menggesa Pusat memulangkan 50 peratus pendapatan kepada Johor untuk tujuan kemajuan negeri.

“Kerajaan Johor harus menolak VEP jika Pusat tidak mahu memberi 50 peratus dari pendapatan itu. Kita harus ingat Malaysia ialah persekutuan.

“Kedua-dua kerajaan juga menjelaskan kepada awam bagaimana pendapatan itu digunakan.

“Setiap hari trafik sesak di Linkedua dan Tambak Johor. Pendapatan dari caj mesti digunakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan dan kecekapan kastam.

“Dua perkara ini perkara asas yang mesti dipulihkan untuk meningkatkan kualiti hidup 200,000 warga Malaysia yang bekerja di Singapura,” kata Shu Qi.

Sebelum ini banyak aduan pengguna antaranya termasuk isu pengangkutan awam yang tidak efisien di Johor Bahru.

“Jika alasan pelaksanaan VEP bertujuan mengurangkan kesesakan di Johor Bahru, kerajaan mesti menyediakan pengangkutan awam efisien, lebih-lebih lagi kawasan pelancongan,” ujar Shu Qi. – Roketkini.com