Rencana

Kaji semula kontrak persekutuan

Lebih setengah abad telah berlalu sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Pada ketika itu, besar harapan rakyat bahawa negara kita akan terus mara ke hadapan dan mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang lestari dan terangkum, di mana semua rakyat Malaysia dapat berkongsi kekayaan negara dengan saksama.

Lebih indah khabar dari rupa

Namun begitu, realiti masa kini tidak mencerminkan impian para pelopor kenegaraan kita. Walaupun kekayaan negara kita dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan Pendapatan Negara Kasar (PNK) makin meningkat sehingga diuar-uarkan kononnya Malaysia akan mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kesejahteraan ekonomi ini sebenarnya tidak dinikmati rakyat kebanyakan.

Sebagai contoh, gaji penengah (median) bagi rakyat Malaysia berada di tahap RM1,700 sebulan. Ini bermaksud bahawa lebih 50 peratus rakyat kita berada dalam golongan berpendapatan rendah. Golongan ini juga langsung tidak mempunyai aset kewangan atau simpanan cair (liquid savings).

Jelas, perbezaan kekayaan antara rakyat Malaysia yang kaya dengan yang miskin adalah sangat besar. Tambahan pula, terdapat kesenjangan sosio-ekonomi yang ketara dari segi geografi, di mana jurang kekayaan adalah besar antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Dalam Semenanjung pula, keadaan sosio-ekonomi di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu adalah jauh berbeza berbanding negeri-negeri pantai barat seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Memandangkan pengagihan pembangunan sosio-ekonomi jelas tidak seimbang, persoalan timbul sama ada kerangka persekutuan yang sedia ada masih lagi relevan.

Persekutuan yang paling terpusat

Negara kita pada dasarnya mengamalkan sistem persekutuan, iaitu struktur politik yang secara lazimnya terdiri daripada negeri-negeri bersekutu yang disatukan di bawah payung kerajaan pusat. Contoh negara bersekutu yang lain adalah seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan India.

Di negara-negara tersebut, kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi dalam kebanyakan bidang yang melibatkan kehidupan seharian, manakala kerajaan pusat biasanya bertanggungjawab ke atas hal ehwal kenegaraan, perhubungan antarabangsa dan keselamatan luar negeri. Perkongsian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam sistem persekutuan pula ditentukan oleh perlembagaan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan pusat.

Malangnya, sistem perundangan, pentadbiran dan fiskal di negara kita tidak mirip langsung dengan negara persekutuan yang lain. Tadbir urus negara kita dalam kebanyakan bidang adalah sangat terpusat, jika tidak lebih terpusat berbanding negara kesatuan (unitary states). Malah, kemungkinan besar Malaysia merupakan antara negara persekutuan yang paling terpusat di dunia. Contoh paling jelas pemusatan kuasa yang berlebihan di negara kita ini adalah hakikat bahawa perbelanjaan kerajaan Persekutuan merangkumi lebih 90 peratus daripada semua perbelanjaan kerajaan setiap tahun.

Saya juga pasti bahawa amat sukar untuk mencari sebuah lagi negara persekutuan di mana pengangkutan awam secara keseluruhannya, meskipun di kawasan terpencil, diuruskan sepenuhnya oleh agensi pusat di bawah naungan eksekutif tertinggi, iaitu Jabatan Perdana Menteri. Malah, pemusatan yang berlebihan ini juga berlaku dalam kebanyakan bidang tadbir urus yang biasanya dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti perumahan awam, pengurusan sisa pepejal, utiliti, kebajikan sosial, pendidikan dan yang terbaru pula, pengurusan tandas awam. Kesemua bidang ini dikendalikan di peringkat kerajaan pusat dan bukan di peringkat kerajaan negeri atau tempatan.

Pembangunan yang tidak seimbang

Walaupun jelas bahawa pemusatan berlebihan boleh menjadi punca kepada ketidakcekapan dalam bidang-bidang tertentu, sistem terpusat ada juga manfaatnya. Biasanya, kawalan terpusat ke atas perancangan pembangunan akan memperlihatkan keseimbangan wilayah. Malangnya, kerajaan Persekutuan tampaknya terlalu taksub dengan konsep pemusatan sehingga pembangunan ekonomi dan infrastruktur menjadi tertumpu secara ekslusif di Lembah Klang. Hasilnya, banyak bandar-bandar lain yang sebelum ini dinamik seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru telah ketinggalan daripada kemajuan.

Dalam konteks ini, adalah menakjubkan bahawa Pulau Pinang dapat mencapai kejayaan selama ini meskipun dihalang oleh struktur yang sangat terpusat ini. Cuba bayangkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil daripada perbelanjaan operasi tahunan Universiti Sains Malaysia. Bagi negeri yang menyumbang separuh daripada eksport elektrik dan elektronik Malaysia, satu pertiga daripada eksport pembuatan, dua pertiga daripada hasil pelancongan perubatan dan hampir satu persepuluh daripada KDNK negara, adalah satu skandal besar bahawa kerajaan negeri yang dipilih secara demokrasi hanya mampu membelanjakan kurang daripada setengah peratus (0.05 peratus) daripada belanjawan negara.

Lebih teruk lagi apabila kita mempertimbangkan nasib negeri-negeri yang kaya dengan sumber asli seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Negeri-negeri ini telah dinafikan pembangunan yang setimpal dengan wilayah-wilayah lain dan kini mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negara, walaupun menjadi antara penyumbang terbesar hasil negara melalui pengeluaran minyak dan gas.

Kontrak persekutuan perlu dirubah

Maka, atas sebab-sebab ini, usaha ke arah desentralisasi ataupun pengagihan kuasa pusat harus digalakkan demi membentuk persekutuan yang benar-benar menghormati hak dan kesejahteraan negeri-negeri di bawah naungannya.

Jelas, sistem sedia ada tidak berfungsi apabila sesebuah kerajaan negeri tidak berupaya untuk menentukan arah perjalanan bas dalam kota sendiri, membuat pinjaman wang untuk membiayai pembangunan infrastruktur, serta tidak diberi kuasa untuk menguruskan tandas awam sendiri.

Kuasa tadbir urus yang diagihkan dengan baik sudah tentu dapat memakmurkan demokrasi yang lebih bermakna, menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi serta memupuk pembangunan yang lebih saksama dan lestari.

Justeru, satu kajian semula kontrak persekutuan negara kita amat diperlukan, khususnya dalam persekitaran pasca-2008, di mana sudah jelas bahawa pemusatan berlebihan dalam hal ehwal pentadbiran adalah tidak selari dengan kerencaman negara kita serta terbukti gagal untuk memenuhi hasrat dan impian rakyat Malaysia. – Roketkini.com