Berita

DAP Johor tubuh j’kuasa khas banjir, sedia kerjasama dengan kerajaan negeri

Gambar fail

KLUANG, 26 DIS: DAP Johor menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengambil langkah perlu dan segera dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menyeru kerajaan negeri dan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin bekerjasama dan memanfaatkan peranan wakil rakyat Pakatan Rakyat dalam usaha menyampaikan bantuan banjir.

“Kerajaan negeri diseru untuk mengambil langkah segera menangani banjir yang berlaku dengan pendekatan bersama-sama antara kedua-dua parti,” kata Chin Tong dalam kenyataannya hari ini.

Dalam perkembangan terbaru sehingga petang hari ini, 567 mangsa banjir di Johor dipindahkan dengan daerah Kluang mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 432 orang, diikuti Batu Pahat (36), Seganat (25), Kulai (26), dan Muar (18).

Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana.

“Kami bimbang dengan kemungkinan banjir yang lebih serius pada hari-hari yang akan datang,” ujar Chin Tong.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan Pasukan Khas Banjir diketuai Setiausaha DAP Johor yang juga ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng hari ini.

Pasukan Khas Banjir Johor terdiri daripada:

Pengerusi : Gan Peck Cheng

Naib Pengerusi : S Ramakrisnan, Tan Chen Choon

Setiausaha : George Poh

Bendahari : Chua Wee Beng

Ahli Jawatankuasa : Mazir Ibrahim (Barat Daya Johor), Lim Guan Eng (Johor Utara), Ee Chin Li (Timur Laut Johor), Wong Shu Qi (Barat Daya Johor) dan Ng Siam Luang (Johor Selatan)

“Jawatankuasa Negeri menyeru kepada semua ahli DAP Johor untuk membantu usaha-usaha mengurangkan beban yang dihadapi penduduk.

“Kami akan bekerja bersama-sama untuk memastikan akibat dari bencana ini dapat dikurangkan dengan keutamaan kepada isu keselamatan.

“Pasukan petugas juga akan berhubung dengan PAS Johor dan kepimpinan PKR negeri untuk menyelaraskan usaha bantuan,” kata Chin Tong.

Dalam pada itu beliau mewakili DAP Johor menyatakan simpati dan rasa kebersamaan dengan mangsa-mangsa banjir di seluruh negara, terutamanya kepada rakyat Malaysia di negeri-negeri Pantai Timur. – Roketkini.com