Berita

Najib patut ‘hayun’ kayu golf kepada Menteri Kabinet dan MKN

PETALING JAYA, 26 DIS: Banjir teruk di Pantai Timur yang berlarutan dua minggu dipandang sambil lewa oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila lambat menggesa Majlis Keselamatan Negara bermesyuarat dan menyelesaikan masalah secepat mungkin.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, Muhyiddin seolah tak terfikir tentang keperluan segera untuk mengumumkan darurat bagi membolehkan mobilisasi besar-besaran jentera kerajaan bagi mengurangkan kesan bencana alam.

“Tindakan lembab Muhyiddin menunjukkan kerajaan Pusat sekarang ini seperti tidak mempunyai ketua.

“Bagaimana rakyat Malaysia hendak percaya kepada Timbalan Perdana Menteri, bila dia berkata mesyuarat MKN akan dipanggil pada hari Sabtu ini? kata Pua dalam satu kenyataan.

Muhyiddin semalam dilaporkan berkata akan memangku tugas Perdana Menteri dan rakyat diminta memberi kepercayaan kepadanya, bagi mengalih kritikan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang bercuti dan bermain golf di Hawaii.

Sehingga hari ini sahaja, lebih 100,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan, namun kerajaan bersikap dingin dan menolak untuk mengisytiharkan darurat kerana menganggap ia belum di tahap kritikal

Sebaliknya, lain pula apa yang dikatakan Ketua UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mendakwa banjir di Kelantan kali ini berbeza sekali.

Mustapha dilaporkan berkata penyelarasan bencana alam dengan arahan cepat dan tepat sangat penting oleh pemimpin berpengalaman.

“Kita perlukan seorang pemberi arahan yang boleh mengawal banyak jabatan secara serentak ,” kata Mustapa.

Ekoran dari itu, Pua menggesa ahli MKN menjalankan mesyuarat dan berbincang mengenai pelan mengurus masalah dihadapi mangsa bencana.

“Tetapi apa yang kita dengar, Setiausaha MKN Datuk Thajudeen Abdul Wahab mengingatkan rakyat agar jangan menyebarkan khabar angin palsu tentang situasi banjir.

“Dia ini hanya fikir hendak tangkap orang yang sebar khabar angin tentang banjir sahaja.

“Jadi saya fikir, PM tak ada pilihan, selain pulang dengan kayu golfnya dan ‘hayun’ mereka supaya bekerja.

“Kabinet dan MKN tak boleh berehat sampailah banjir surut sepenuhnya,” perli Pua. – Roketkini.com