Berita

Pihak berkuasa Johor halang ADUN DAP serah bantuan banjir

Gambar: Liew Chin Tong (kiri) dan Tan Hong Pin berbual bersama mangsa banjir di pusat pemindahan

KLUANG, 27 DIS: ADUN Mengkibol, Tan Hong Pin kecewa apabia pihak berkuasa tempatan di Johor menghalangnya dan rombongan Pusat Komuniti Kluang untuk menyerahkan bantuan banjir.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, Hong Pin dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dihalang dan dihalau keluar dari Pusat Pemindahan Bencana di Kampung Bentong Dalam oleh ketua kampung dikenali dengan nama ‘Sugiman’.

“Beliau memberi alasan bahawa rombongan kami tidak diundang, lantas kami telah dihalau keluar. Kami terpaksa membawa balik barangan yang dibawa itu dan diedarkan ke pusat-pusat pemindahan yang lain,” kata Hong Pin dalam satu kenyataan.

Menurut Hong Pin beberapa kawasan kampung di sekitar daerah Kluang dilanda banjir dan enam Pusat Pemindahan Bencana Alam dibuka untuk menempatkan mangsa banjir sejak Khamis lalu.

Tinjauannya mendapati antaranya kawasan teruk dilanda banjir adalah di Kampung Mengkibol dan Kampung Bentong Dalam yang ditempatkan di balai raya kampung masing-masing.

Antara inisiatif dilakukan Pusat Komuniti Kluang termasuk kutipan bantuan dari masyarakat awam sumbangan bagi membantu mangsa banjir. termasuk air mineral, roti dan biskut.

Justeru itu beliau menggesa kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenepikan perbezaan fahaman politk dan bekerjasama dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya amat kesal dengan sikap tidak profesional dan tidak mesra oleh pihak berkuasa. Dalam situasi banjir yang genting ini, saya menyeru kerajaan mengenepikan perbezaan fahaman politk dan bekerja dalam misi membantu mangsa banjir.

“Pusat Komuniti Kluang tidak akan berputus asa untuk memantau keadaan banjir di sekitar kawasan Kluang dan sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yangmemerlukan,” kata Hong Pin. – Roketkini.com