Berita

KTI lancar kempen gantung sepanduk anti-insinerator Kepong

KEPONG, 28 DIS: NGO alam sekitar Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) hari ini melancarkan kempen menggantung sepanduk anti-insinerator.

Kempen dengan kerjasama antara jawatankuasa KTI dan persatuan-persatuan penduduk bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan betul.

Pelancaran kempen telah dilaksanakan di Laman Residen, Kipark Sri Utama, Kepong pada pukul 10 pagi hari ini.

Sebelum ini, KTI telah melaksanakan program yang serupa untuk menyedarkan bahaya insinerator melalui program Megawalk pada 23-24 Februari lalu berjalan dari Kuala Lumpur ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

NGO alam sekitar itu menjelaskan pembinaan insinerator di tengah Kuala Lumpur tidak dapat mengelakkan dari menghasilkan sisa toksik merbahaya dari pembakaran plastik, bateri dan bahan kimia yang lain.

Merujuk Garis Panduan Merancang Tapak Insinerator, seharusnya insinerator yang berkapasiti lebih dari 400 tan sehari dibina di tempat yang mempunyai jarak minima 50 kilometer.

Pada 22 Disember lalu, KTI membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serentak di Johor dan Kuala Lumpur.

Ia bagi mendesak siasatan terhadap penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC ) berhubung kegagalan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meneliti cadangan XCNT, kontraktor utama insinerator.

Difahamkan pakar-pakar Jawatankuasa Penilaian Teknologi Sisa Pepejal Kebangsaan gagal menjalankan tanggungjawab meneliti teknologi XCNT yang memperakukan cadangan teknologi hanya berdasarkan kertas cadangan.

“PAC mendapati keputusan kerajaan memberi kontrak secara rundingan terus adalah tidak tepat kerana XCNT tidak memiliki teknologi tempatan.

“PAC mendapati bayaran kepada XCNT hanya atas dokumen purchase order yang dikeluarkan kontraktor kepada pembekalnya, tidak mematuhi syarat kontrak dan Arahan Perbendaharaan berkaitan,” kenyataan KTI dipetik.

Malah, PAC turut mendapati loji insinerator tidak beroperasi dan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. – Roketkini.com