Berita

“Isytihar darurat tak jejas bayaran insuran”

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menegaskan tiada klausa dalam perjanjian standard insuran yang menghalang bayaran pampasan sekiranya darurat diisytiharkan.

Beliau berkata, alasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak enggan mengumumkan darurat kononnya kerana ‘insuran tak boleh dituntut jika darurat diisytihar’ tidak boleh diterima pakai.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, beliau telah mengkaji semula perjanjian insuran kenderaan beberapa syarikat insuran.

Ujarnya, perjanjian standard menyebut syarikat insuran tidak membayar ganti rugi jika berlaku peperangan, pencerobohan, operasi peperangan (sama diisytiharkan atau tidak), perang saudara, rusuhan, demonstrasi, pemberontakan, revolusi tentera, rampasan kuasa, pengekalan pemerintahan tentera atau keadaan terkepung.

Berdasarkan pengecualian tersebut, misalnya kenderaan yang rosak tidak diberi pampasan meskipun keadaan darurat diisytiharkan.

Justeru itu, Najib perlu memahami perbezaan perisytiharan darurat bencana alam dengan darurat ketenteraan.

“Dalam situasi seperti dinyatakan, jika ‘undang-undang tentera (martial law)’ diisytiharkan, insuran adalah tidak sah.

“Tapi darurat adalah jauh berbeza sama sekali daripada ‘undang-undang tentera’,” tegasnya.

Katanya, insuran harta juga tidak sah jika kemusnahan ‘disebabkan pemberhentian kerja, rampasan, kemusnahan atau kerosakan harta dengan perintah kerajaan.

“Sudah tentunya kerajaan tidak mengisytiharkan darurat untuk ‘memusnahkan’ harta rakyat,” kata Pua.

Beliau menyambut seruan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam agar Najib mempertimbangkan semula keputusannya yang tidak mahu mengisytiharkan darurat.

Kit Siang sebelum in berkata, perisytiharan darurat penting bagi menggerakkan jentera kerajaan dan mengurangkan birokrasi antara jabatan yang diselia Pusat.

“Ribuan rakyat Malaysia kini terjejas akibat banjir. Kerajaan wajar mempertimbangkan keputusan bagi membolehkan mobilisasi seluruh jentera untuk mengurangkan masalah bencana,” kata Tony. – Roketkini.com