Berita

Mangsa banjir lebih 7,000, DUN Perak perlu adakan sidang khas

IPOH, 30 DIS: Dewan Undangan Negeri Perak perlu mengadakan sidang khas bagi membincangkan langkah khusus bagi membantu mangsa banjir di negeri ini, kata Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Menurutnya, bilangan mangsa banjir di Perak yang kini lebih 7,600 orang melibatkan 1,370 keluarga mendesak kerajaan negeri untuk berbincang, menyediakan skim bantuan khusus dan meluluskan belanjawan tambahan sekiranya perlu.

“Sidang DUN khas ini adalah penting supaya semua pihak tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik bersatu menghadapi bencana banjir yang paling serius sejak tahun 1971,” kata Nga dalam satu kenyataan.

Ujarnya, DAP Perak bersedia membantu kerajaan negeri merancang program pencegahan banjir, selain setuju berbincang untuk meluluskan bantuan khas kepada keluarga mangsa-mangsa banjir sekurang-kurang pada minggu pertama Januari, 2015.

Dalam pada itu beliau memaklumkan DAP Perak telah menggerakkan enam Ahli Parlimen dan 18 ADUN bersama sukarelawan parti untuk turun padang terutamanya di kawasan Kampung Gajah dan Gunung Semanggol, antara lokasi yang dikatakan paling serius dilanda banjir.

Nga sendiri akan mengetuai pasukan bantuan ke Kampung Gajah bersama Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar, manakala sebuah lagi pasukan diketuai ADUN Pokok Assam Teh Kok Lim dan Loh See Yee (Jalong) menyelaras bantuan di daerak Kerian. – Roketkini.com