Rencana

Mengapa takut bayang-bayang sendiri?

Di saat berkumandang seruan persaudaraan di seluruh dunia, nampaknya Malaysia sedang melangkah ke belakang dengan merintis semula sejarah “White Power”.

Tiba-tiba kita menjadi begitu sibuk dengan slogan ‘bangsa ini lebih mulia dari bangsa itu”. Sehingga terlontar idea himpunan mega Gerakan Renaisans Melayu, Januari nanti.

Tidakkah kita faham Malaysia ini tertubuh dengan sebegitu rencam etniknya? Kepelbagaian itu menjadi rencah yang menambah elok negara ini. Penyatuan haruslah bersifat inklusif kepada semua anak Malaysia.

Jika mahu dibuat himpunan mega sekalipun, lebih baik dibuat himpunan harmoni dimana rakyat pelbagai lapisan hadir bersama-sama untuk berintegrasi secara harmoni.

Mengapa takut dengan bayang-bayang sendiri? Melahirkan retorik dan slogan-slogan yang akhirnya menimbulkan prejudis dan rasa kurang senang sesama masyarakat. Kestabilan dan kerukunan ukhwah masyarakat tidak akan selesai dengan pendekatan yang hanya terikat kepada satu-satu kelompok semata-mata.

Kemudian, kita selusuri pula ajaran Islam yang sangat meraikan kepelbagaian melihatkan kepada bagaimana agama ini mempunyai pelbagai mazhab di dalamnya. Tidak pula Islam menganjurkan penganut sesuatu mazhab itu merasa lebih agung daripada mazhab yang lainnya.

Islam tidak mengajar kita untuk merasa lebih agung daripada orang lain. Islam mengajar kita untuk menjadi orang yang rendah diri, bersederhana dan toleransi.

Lantas, mengapa kita masih terperangkap untuk membicarakan bangsa mana lebih agung?

Jika merasakan Melayu ini berpecah belah kerana faham politik kepartian, mazhab atau akidah agama, jalur pemikiran dan sebagainya, silal ubah takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Letakkan pengertian Melayu itu ‘mesti’ memegang faham politik UMNO, berfikiran Melayu PERKASA dan ISMA. Selain daripada pengertian ini, akan digolongkan dalam golongan bukan Melayu.

Perintahlah Melayu ini dengan sistem diktator. Teruslah menjumudkan pemikiran orang Melayu. Ikatlah dengan cerita-cerita dongeng yang menakutkan Melayu dengan bayang-bayang sendiri.

Jika hari ini orang Melayu itu ketinggalan, bukannya kerana perpecahan atau asakan – tetapi akibat kegagalan Parti United Malay National Organisation (UMNO) yang memerintah semenjak Merdeka.

Kerana parti ini, orang Melayu tersesat jauh. Maka, parti inilah yang perlu dikuburkan bersama dengan mereka yang ekstrim fahamnya.

Saya tidak faham mengapa perlu Himpunan 20,000 Melayu? Sesungguhnya saya memang tidak faham mengapa kita sering memilih untuk takut dengan bayang-bayang sendiri?

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pendidikan Politik
DAPSY Muar