Berita

TPM digesa dedah VVIP diutamakan guna helikopter, ketepi ibu mengandung

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin mendedahkan VVIP yang membahayakan nyawa dua ibu yang sarat mengandung dan akan bersalin dalam satu kejadian di klinik kesihatan Badang, Kelantan Ahad lalu.

Kit Siang merujuk laporan mengenai misi pemindahan medevac (medical evacuation) dua ibu dengan komplikasi serius ketika bersalin tertangguh Ahad lalu hampir dua jam di klinik disebabkan arahan seorang individu VVIP yang mahu melawat kawasan banjir.

“Adakah ini bertepatan dengan SOP pengurusan bencana, bahawa lawatan VVIP diberi keutamaan berbanding keadaan kritikal seseorang pesakit? soal Kit Siang.

Difahamkan, Dr Afiq Rahim yang bertugas di klinik kesihatan Badang menceritakan kejadian tersebut di laman facebooknya yang kini menjadi profil paling popular di rangkaian sosial mengenai dugaan dihadapi petugas perubatan dan penjawat awam dalam situasi sukar ketika bencana.

Menurut tulisan Dr Afiq, pesakit pertama, seorang ibu sarat mahu bersalin tiba di klinik kesihatan Badang pada hari Ahad jam 3.30 pagi.

Kemudian, pada jam 6 pagi doktor memutuskan beliau memerlukan penjagaan tertiari serta perlu dipindahkan.

Namun helikopter yang dipanggil hanya tiba pada jam 8 pagi, dua jam lewat kerana helikopter tersebut ‘ditahan’ kerana ada VVIP yang mahu melawat kawasan yang dilanda banjir.

Manakala pesakit kedua yang tiba selepas jam 8 pagi dan turut sarat mengandung juga berdepan masalah yang sama, dan setelah kehilangan banyak darah, pesakit kerap tidak sedarkan diri.

Dr Afiq, semalam dilaporkan menulis, dua nyawa mungkin sahaja hilang semalam akibat sikap acuh tak acuh pihak berkuasa.

“Amat mengecewakan dan menghampakan bagi kami yang cuba memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa,” tulis Dr Afiq di laman Facebbok.

Tegas Kit Siang. Dr Afiq berhak untuk berang dengan penangguhan terbabit kerana pihak berkuasa telah mengutamakan lawatan rasmi berbanding pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.

“Dr Afiq sewajarnya menjadi contoh ikutan semua rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan anggota Kabinet, bagaimana sikap yang patut diambil oleh rakyat Malaysia ketika berhadapan bencana; iaitu mengutamakan nyawa orang lain berbanding diri sendiri,” ujar Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, perkembangan terbaru ini adalah sebab mengapa Suruhanjaya Siasatan Diraja kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir mesti ditubuhkan dan harus menjadi agenda utama mesyuarat khas Kabinet.

“Kes-kes sebegini patut disiasat oleh RCI supaya ia tidak berulang lagi, di mana VVIP meletakkan nyawa rakyat biasa dalam bahaya hanya kerana mereka mahu melawat kawasan yang dilanda banjir,” tegasnya. – Roketkini.com