Berita

2015: Pulau Pinang kembang peluang ekonomi, giat dasar kebajikan

GEORGE TOWN, 31 DIS: Kerajaan negeri Pulau Pinang bukan sahaja berusaha memelihara kehidupan sejahtera, namun menyasarkan untuk meluaskan kemakmuran ekonomi agar dinikmati segenap lapisan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, antara kelompok sasaran yang kini menjadi keutamaan dalam usaha pengupayaan ekonomi adalah golongan belia.

Menjadikan pengangguran belia di Sepanyol setinggi 54 peratus, Itali (44%) dan Perancis (25%) sebagai perbandingan, belia di Pulau Pinang bernasib baik kerana sektor pekerjaan di negeri ini terbuka luas, terutamanya kepada golongan belia.

“Selain peluang pekerjaan, kerajaan negeri bekerja keras mengembangkan peluang kepada keluarga muda untuk memiliki kediaman dengan skim perumahan mampu milik melalui pembinaan 22,545 unit rumah, manakala sektor swasta juga menyumbang jumlah yang sama.

“Bilangan ini adalah yang terbesar pernah dibina oleh sebuah kerajaan negeri dalam sejarah. Malah Pulau Pinang diiktiraf satu-satunya negeri yang menawarkan perumahan kos rendah yang hampir mencukupi berdasarkan nisbah penduduk,” kata Guan Eng dalam perutusan tahun baru 2015.

Malaysia mencatat purata perumahan kos rendah pada kadar 5.5 peratus, sedangkan Pulau Pinang mencatat kadar 13.15 peratus, adalah yang tertinggi di Malaysia.

Semenjak pentadbiran Pakatan mulai 2008, Pulau Pinang telah menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM287 juta kepada lebih 200,000 penerima, manakala bagi 2015, RM 117 juta diperuntukkan untuk tujuan sama.

Pulau Pinang turut mencatatkan negeri terbaik di Malaysia yang berjaya merapatkan jurang pendapatan.

Tambah Guan Eng, Pulau Pinang berjaya peningkatan pelaburan kepada RM6 bilion bagi sembilan bulan pertama 2014, mengatasi RM3.9 bilion jumlah keseluruhan bagi tahun 2013.

“Pulau Pinang menarik pelaburan RM40 bilion dalam tempoh enam tahun antara 2008 hingga 2013, iaitu 90 peratus lebih tinggi berbanding RM21 bilion bagi tempoh sama antara 2002 hingga 2007,” kata Guan Eng.

Dalam pada itu usaha menjadikan Pulau Pinang negeri paling selamat berhasil dengan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Namun, cabaran terbesar Pulau Pinang adalah mewujudkan sistem pengangkutan awam berkesan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas berikutan kepesatan sektor pembuatan dan pelancongan.

Dalam usaha mengatasi keengganan kerajaan Pusat memenuhi janji mewujudkan rangkaian pengangkutan awam, atau meluluskan lesen pengangkutan awam kerajaan negeri, Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bernilai RM27 bilion dilancarkan.

“Kami berharap ‘ada cahaya di hujung terowong’ berikutan sambutan positif semua pihak kepada rancangan tersebut,” kata Guan Eng. – Roketkinicom.