Berita

Banjir: Majlis Keselamatan Negara dijangkiti ‘sindrom penafian’

PETALING JAYA, 31 DIS: Jawapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada kritikan orang ramai berhubung pengurusan bencana yang lembab menunjukkan badan itu dijangkiti ‘sindrom penafian’.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua berkata, MKN dilihat defensif apabila terpaksa secara panjang lebar memberi penerangan, malah mengatakan mereka yang mengkritik itu hanya tahu mengkritik, tanpa melakukan apa-apa.

“Mereka (MKN) sehingga bersusah payah menyebut nama saya sebanyak empat kali dalam kenyataan panjang lebar, menuduh kritikan-kritikan itu sebagai ‘hanya membuat kenyataan dari bangku simpanan’ dan ‘penuh kesombongan’.

“Ada dua isi penting dalam jawapan mereka terhadap kritikan itu. Pertama, MKN bercakap macam dia tak melakukan apa-apa yang salah, dan orang awam sepatutnya tutup mulut kalau tak terlibat dalam kerja pengurusan bencana banjir kerajaan.

“Yang kedua, kenyataan MKN sendiri mendedahkan betapa persiapan dan kepentingan menyelesaikan krisis adalah teruk,” kata Tony

Menjawab reaksi MKN Pua menjelaskan, meskipun tidak terlibat dalam, adalah tugas rakyat mendedahkan ketidakcekapan MKN.

“Kami besarkan isu ini bukan untuk memalukan MKN dan kerajaan Pusat, supaya mereka yang berkuasa memperbetulkan kesilapan mereka dan mengurangkan masalah dihadapi rakyat.

“Mereka kata saya buat dakwaan liar dengan ambil berita tak sahih di media sosial.

“Namun, bila lihat kembali dua kenyataan saya sebelum ini. Langsung tak ada petikan khabar angin.

“Bahkan, saya hanya memetik kata-kata Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ketua UMNO Kelantan dari Astro Awani.

“Saya tak tahulah pula, kenyataan menteri itu boleh dikatakan sebagai sumber yang tak boleh dipercayai.” ujar Pua.

Secara tidak langsung MKN sendiri mendedahkan kelemahannya membuat persiapan menghadapi banjir di Pantai Timur.

Dalam pada itu kata Tony, beliau pada asalnya menyangka Tan Sri Muhyiddin bermesyuarat pada 27 Disember 2014, sepuluh hari selepas banjir selepas membaca kenyataan MKN.

“Tetapi kemudian, saya ketawa membaca penafian MKN itu apabila mereka telah bermesyuarat pada 3 Januari 2014, kira-kira setahun lepas,” tambahnya.

“Saya tak mahu menambah malu MKN kalau saya tanya apakah mesyuarat itu memang untuk selesaikan masalah banjir Disember tahun lepas,

“Faktanya, MKN sendiri mengaku hanya ada dua mesyuarat sejak tahun lepas.

“Jelas membuktikan MKN tidak meletakkan pengurusan bencana banjir ini sebagai keutamaan,” tambah Tony. – Roketkini.com