Berita

Pulau Pinang terus perarakan Maulidur Rasul, tambah baik program

PULAU PINANG, 31 DIS: Meskipun ditohmah media UMNO-BN, kerajaan Pulau Pinang tetap mengadakan perarakan Maulidur Rasul 1436H pada hari Sabtu, 3 Januari ini.

Perarakan yang akan bermula jam 8 pagi dari Vision Park ke Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas dijadualkan disertai lebih 50 kontinjen agensi kerajaan negeri, persekutuan dan NGO.

Ia merupakan sebahagian dari program Himpunan Ummah Maulidur Rasul yang dianjurkan kerajaan negeri mulai 26 Disember hingga 6 Januari depan.

Antara program lain termasuk 10 siri ceramah di Mutiara FM pada jam 2.30 petang setiap hari selain bacaan kitab Syamail Muhammadiah di 212 masjid seluruh negeri.

Pada hari perarakan, penerbitan i-Fikrah diedarkan kepada semua peserta perarakan memuatkan tulisan tokoh terkenal, Ustaz Shauqi Othman, yang sering terlibat dalam program televisyen dan radio.

Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Domestik dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Kassim berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada usaha pengembangan syiar Islam selain menambahbaik pengisian program setiap tahun.

Namun, beliau menyelar pihak tertentu termasuk media yang melemparkan tuduhan kononnya kerajaan negeri menyekat program perarakan Maulidur Rasul.

“Saya kesal apabila ada media dan pihak tertentu sengaja melemparkan tohmahan dan mengaitkannya dengan politik perkauman sempit.

“Perlu ditegaskan, pergerakan kontinjen adalah sebahagian acara sambutan, bukan intipati utama majlis Himpunan Ummah Pulau Pinang seperti mana amalan beberapa negeri lain selama ini,” kata Malik.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut menambah jumlah hadiah wang tunai untuk anugerah Maulidur Rasul di Pulau Pinang.

Antaranya Tokoh Maulidur Rasul, Qudwatul Rasul Dalam Inovasi, Qudwatul Rasul Masyarakat dan juga Qudwatul Rasul Belia.

Kerajaan negeri turut menambah program baru, iaitu tazkirah Dhuha yang disampaikan Ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang, Rosli Othman dikuti solat Dhuha berjemaah diimamkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Haji Wan Salim. – Roketkini.com