Budaya

P.K. (2014): Tuhan Pencipta & Pencipta Tuhan

Dua tiga hari ini laman FB saya sarat dengan komentar tentang filem P.K. Rata-ratanya memberi komentar positif dan membanding-bandingkannya dengan filem 3 Idiot – antara filem terbaik yang pernah saya tonton. Perbandingan itu dibuat kerana kedua-dua filem tersebut mempunyai watak protagonis yang sama, iaitu Aamir Khan. Melihat nama Aamir Khan, ianya menguatkan keinginan saya untuk menonton filem tersebut kerana saya sedar sekiranya Aamir Khan telah memegang watak dalam sesebuah filem, maka filem tersebut pastinya tidak sia-sia. Kedua-dua filem lakonannya sebelum ini, iaitu 3 Idiots dan Taare Zamen Par adalah bukti kecemerlangannya sebagai seorang Ranchoddas Shamaldas Chanchad/Phunsukh Wangdu dan Ram Shankar Nikumbh datang sebagai “the wise man” yang membawakan kehidupan kepada masyarakat yang suram.

Terlebih dahulu, saya kira untuk memahami P.K. bermakna perlu tolak ke tepi paradigma biasa (standard paradigma) bahawa filem ini bergerak sebagai sebuah sinopsis yang mempunyai pendahuluan, pertengahan, klimaks dan seterusnya peleraian seperti yang biasa kita jumpa dalam sesetengah ulasan filem. Ianya hanyalah fesyen-fesyen ilmiah yang hanya akan menjadikan pemaknaan sebenar yang cuba diresapkan oleh seorang Peekay (Pemabuk) melalui filem ini menuju kegagalan.

Kali ini, Aamir Khan bertindak lagi sebagai “the wise man” yang datang ke dunia untuk mendesak manusia memikirkan kembali mengenai tuhan. Plot filem digerakkan dengan seorang makhluk yang datang ke dunia dengan misi tertentu, tetapi hilang arah tuju apabila alat kawalannya hilang dan dia harus menemukannya kembali untuk pulang. Dalam keadaannya yang hilang arah tuju, dia diberitahu bahawa Tuhan (God) mampu untuk menyelesaikan segala masalah, tetapi yang ditemuinya ialah wakil-wakil Tuhan (godmen) yang semakin menimbulkan kepadanya kekeliruan sehinggalah dia sedar bahawa dia sebenarnya (dan masyarakat sekelilingnya) sedang berada dalam keadaan “wrong number”.

“Wrong number” menyebabkan masyarakat sebenarnya sedang tertipu oleh “godmen” yang menggunakan agama tuhan untuk mencari kekayaan. “Wrong number” menyebabkan wang ringgit dijadikan sandaran untuk membeli tuhan. “Wrong number” menyebabkan masyarakat tidak sedar bahawa mereka tidak lagi meminta tolong dan menyembah Tuhan, tetapi sebenarnya mereka sedang menyembah orang-orang yang menggelarkan diri mereka sebagai wakil Tuhan.

Wakil-wakil Tuhan ini kononnya hendak menunjukkan kepada masyarakat jalan menuju Tuhan, tetapi sebenarnya tanpa sedar mereka sendiri yang menciptakan tuhan itu untuk masyarakat. Wakil-wakil Tuhan itu menggunakan ayat-ayat Tuhan lalu menyuruh manusia lain tunduk kepadanya tanpa sebarang persoalan. Semua ini adalah “wrong number”!

P.K. ini terlalu tinggi untuk sekadar dilihat sebagai sebuah filem yang bercerita selapis makna sebagai sebuah kisah cinta yang terpisah oleh salah faham tetapi dijadikan modal oleh wakil tuhan untuk membuktikan kebenaran yang kosong. Tidak begitu. P.K. harus dilihat sebagai sebuah pengembaraan diri mencari tuhan yang sebenar dan melondehkan penipuan-penipuan yang berlaku atas masyarakat yang menggunakan nama tuhan sebagai dokongan.

Terlalu banyak penipuan berlaku atas nama tuhan sehingga kita melihat tuhan itu dibezakan oleh pakaian dan bahasa perbualan seharian seseorang itu. Maafkan saya sekiranya kalian melihat bahawa saya seolah-olah sedang menyebarkan pluralisme agama, tetapi maksud sebenar saya ialah tuhan itu tidak harus dinilai sekadar melalui pakaian dan bahasa percakapan. Orang yang berjubah atau berpurdah tidak semestinya dia adalah seorang Islam dan yang ada calit merah di dahi tidak semestinya dia beragama Hindu. Pembudayaan adat harus dibezakan sama sekali dengan pembudayaan agama agar agama itu tidak terfitnah kerana kesalahan individu itu sendiri yang sebenarnya tidak mematuhi ajaran agamanya.

Satu perkara yang bermain dalam fikiran saya: Kenapa Jaggu (lakonan Anushka Sharma) yang beragama Hindu yang ingin berkahwin dengan Sarfaraz (lakonan Sushant Singh Rajput) yang beragama Islam, tetapi tidak direstui oleh Tapasvi Maharaj (lakonan Saurabh Shukla) yang bertindak sebagai wakil Tuhan lalu kedua-duanya mengambil keputusan untuk segera melangsungkan perkahwinan dan perkahwinan itu akan berlangsung di gereja yang sudah tentunya adalah tempat ibadah yang tidak berkait langsung dengan tempat ibadah bagi kedua-dua agama mereka? Tolong jangan bagi jawapan singkat bahawa ini adalah sebuah agenda pluralisme agama. Itu petanda bahawa kalian masih belum menonton filem ini sehingga ke akhirnya.

Seperti 3 Idiots, Rajkumar Hirani juga menggerakkan filem P.K. melalui seorang narator yang bercerita untuk menggerakkan latar filem dan suatu perkara yang membuatkan saya tertarik dengan hasil kerja Hirani ialah penceritaan filemnya dihiasi oleh lagu-lagu latar yang sebenarnya bertindak sebagai penggerak kepada setiap plot filem agar ianya lebih tersusun dan mudah difahami. Lagu-lagu latar itu tidak harus dilihat sebagai penghias latar penceritaan, tetapi lihat pada liriknya yang sebenarnya menyimpulkan setiap plot filem dengan baik. Semakin lama lirik-lirik lagu dalam filem tersebut menampung makna yang semakin berat sesuai dengan makna naratif filem yang menunjukkan sebuah pengembaran mencari Tuhan. (Pastinya unik bukan apabila “tuhan” itu dapat menjadi pelekat yang ditampal di pipi bagi mengelakkannya dipersalahkan apabila melakukan sebarang kesalahan?). Sikap lurus bendul P.K. dalam semua perkara menyebabkan terbongkarnya pelbagai perkara.

Jika kalian adalah seseorang yang cepat melatah dan suka cepat membuat kesimpulan serta menafsirkan bahawa filem ini adalah sebuah agenda pluralisme yang menyesatkan akidah masyarakat, saya sarankan kalian tidak menonton filem ini kerana filem ini sudah tentunya tidak sesuai pada tahap pemikiran kalian. Tetapi jika kalian adalah seseorang yang ingin mencari kebenaran hidup dan berani untuk mempersoalkan apa yang kalian pegangi selama ini, tontonlah filem ini untuk kalian retrospeksi diri bagi menggali keyakinan sebenar terhadap apa yang kalian percayai selama ini. Makna sebenarnya ada di penghujung cerita.

Persoalan yang terngiang-ngiang dalam kepala saya sejak melangkah keluar dari panggung wayang sehingga sekarang: Kita ini sebenarnya sedang menyembah Tuhan yang menciptakan kita atau tuhan yang kita cipta?

Harap-harap kita segera mengenali dan kembali kepada Tuhan yang menciptakan kita. Terima kasih kepada Rajkumar Hirani kerana menutup tirai 2014 saya dengan sesuatu yang sangat bermakna buat diri saya. – Roketkini.com