Rencana

Banjir: Tiga cadangan untuk Najib

Gambar: Wakil rakyat dan sukarelawan DAP menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan

 

Semalam DAP telah menghantar beberapa kumpulan bantuan kemanusiaan ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan dan Pahang, yang terdiri daripada:

i) Tiga kontena bekalan bantuan untuk mangsa banjir, dua dari Pulau Pinang dan satu dari Johor; ke Kuala Krai sebagai sebahagian daripada misi ‘Save Kuala Krai’.

ii) Sekitar 250 anak-anak Malaysia dari Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor mengambil bahagian dalam misi bantuan banjir pada Hari Tahun Baru 2015; terdiri daripada:

– Lebih 20 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari Pulau Pinang yang dilepaskan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada pagi Tahun Baru pada jam 1.30 pagi). Mereka memandu lebih 15 jam dari Pulau Pinang ke Kuala Krai membawa lebih 2,000 karton bekalan bantuan.

– Lebih 20 kenderaan 4WD dengan bekalan dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ke Kuala Krai (ini misi bantuan kali ketiga ke Kuala Krai yang diketuai Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, dalam masa lima hari.

– Tiga kontena (satu untuk Kuala Krai, satu untuk Kota Bharu dan satu lagi untuk Mentakab) bersama-sama 11 kenderaan 4WD membawa bekalan bantuan dari DAP Johor, dipimpin dua orang Ahli Parlimen dan 7 orang Adun.

Lawatan saya ke Kuala Krai semalam, ditemani Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohamed Hatta Ramli, ialah lawatan kedua saya ke Kelantan dalam masa lima hari, untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa-mangsa banjir paling teruk dalam masa beberapa dekad ini.

Berikutan pemerhatian saya dari dua lawatan ini, yang pertamanya pada 28 Disember ke Kota Bharu sewaktu ibu negeri Kelantan itu ditenggelami air, saya kini menulis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tiga cadangan spesifik, iaitu:

Pertamanya, malapetaka banjir yang telah melemahkan keyakinan terhadap perniagaan. Ramai yang telah bercakap tentang menutup perniagaan mereka, bukan setakat di kawasan yang terjejas banjir, apabila berhadapan beban perbelanjaan tambahan, tanggungjawab dan kerja-kerja tambahan dengan pelaksanaan GST pada 1 April akan datang, terutamanya apabila anak-anak mereka berada di perantauan atau luar negara dan tidak mahu meneruskan perniagaan ibu bapa mereka.

Bencana banjir ini menjadi pukulan kedua, di mana hampir setiap orang di Kuala Krai menjadi mangsa banjir – berdaftar mahupun tidak – memberi sebab tambahan untuk para peniaga menutup kedai.

Atas sebab ini, Perdana Menteri wajar menangguhkan pelaksanaan GST pada 1 April nanti kerana ia bukan sahaja akan menambah beban sengsara para mangsa banjir berjumlah lebih sejuta orang, kerana bukan semua mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.

Keduanya, gandakan peruntukan bantuan banjir RM500 juta itu menjadi RM1 bilion, termasuk menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada setiap mangsa banjir untuk membolehkan perniagaan dan kehidupan dimulakan semula secepat mungkin, dalam masa paling singkat.

Semua mangsa banjir yang mempunyai perniagaan, tidak kiralah warung mahupun kedai, sewajarnya berhak mendapat pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 ke RM250,000 untuk memulakan semula perniagaan mereka.

Ketiga, isytiharkan darurat bencana berikutan kerosakan, skala dan jangkauan malapetaka ini, bukan sahaja untuk menangani banjir yang semakin memburuk di Pahang tetapi juga membantu mangsa banjir di semua kawasan yang terjejas untuk memulakan hidup baru dalam masa yang paling singkat.

Alasan Najib bahawa perisytiharan darurat akan membebaskan syarikat insuran daripada membayar tuntutan insuran telah terbukti merupakan alasan yang tidak boleh dipakai, apabila badan penyelia insuran, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah mengesahkan bahawa syarikat insuran tidak terlepas daripada membayar ganti rugi untuk tuntutan kerosakan banjir walaupun telah diisytihar darurat.

Darurat bencana bukanlah untuk membangkitkan undang-undang tentera, mahupun melaksanakan perintah berkurung, dan paling penting, ia tidak membuka jalan kepada ‘darurat kekal’ seperti yang berlaku dahulu, seperti perisytiharan darurat ketika Konfrontasi Indonesia 1965, krisis politik Sarawak pada tahun 1967, rusuhan 13 Mei 1969 dan krisis politik Kelantan pada tahun 1977 yang terus wujud untuk berdekad lamanya sebelum dibatalkan dua tahun lalu.

Ini adalah kerana darurat bencana akan terbatal secara automatik apabila bencananya sudah surut, dan mangsa-mangsa banjir boleh memulakan kehidupan mereka seperti sediakala.

Dalam keadaan darurat, tentera dapat dimobilisasi bukan sahaja untuk membantu pihak polis menjaga keamanan tetapi juga untuk membantu mangsa banjir memulakan kehidupan baru dalam masa paling singkat, termasuk membina perumahan sementara bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir. – Roketkini.com