Berita

DAP Selangor lanjutkan sumbangan, terus bantu mangsa banjir

PETALING JAYA, 2 JAN: DAP Selangor akan terus bersama mangsa-mangsa banjir dan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka meringankan kesusahan, kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Yeo Bee Yin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, DAP Selangor akan memperluaskan kempen bantuan banjir dan membuka semula tiga pusat pungutan hujung minggu ini.

“Kami sekali lagi mengajak warga Selangor untuk datang ke pusat pengumpulan dan meneruskan sumbangan dalam bentuk wang tunai, cek atau barangan bagi membantu mangsa-mangsa yang kini menghadapi keadaan sukar,”

“Jadi, kami akan memanjangkan tempoh sumbangan bantuan dan membuka semula tiga pusat pungutan di Ibu Pejabat DAP Selangor, Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong dan Pusat Khidmat Kinrara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bee Yin, sejak pelancaran kempen derma pada 28 Disember lalu, DAP Selangor telah mendapat sambutan sangat baik dari semua lapisan masyarakat.

Katanya, antara sumbangan yang telah diterima adalah 387 pek beras (10 kg), 2132 karton air mineral, 5421 pek biskut, 6716 makanan dalam tin, 117 lampin dan bekalan lain lagi seperti mee segera, tuala wanita, lilin, kelengkapan peribadi, pakaian serta lainnya.

Adun Damansara Utama itu juga menyatakan sumbangan berbentuk tunai juga boleh dilakukan secara atas talian melalui ‘Tabung Dana Kecemasan’ Ambank dengan nombor akaun 8881002244649.

“Bagi mereka yang mahu melakukan sumbangan dalam bentuk barangan, kami tidak memerlukan pakaian lagi, termasuk mainan atau peralatan elektrik,”

“Perkara-perkara yang diperlukan adalah makanan kering seperti biskut atau makanan dalam tin, beras, selimut, lampin, kain, bateri dan ubat-ubatan asas.”

Beliau turut memohon para penderma untuk memberikan bantuan secara pukal atau kotak dengan label yang betul bagi memudahkan kerja di pusat pemindahan. – Roketkini.com