Berita

Enggan isytihar darurat, Najib tambah derita rakyat

KUALA LUMPUR, 4 JAN: DAP mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini masih tidak memberi penjelasan kepada rakyat berhubung keengganannya mengisytiharkan darurat.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, tindakan tersebut kini menjadi tanda tanya berikutan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah menafikan sepenuhnya dakwaan beliau.

“Najib masih belum memberikan penjelasan munasabah berhubung kedegilannya itu, walhal PIAM tiga hari lalu telah menyatakan bahawa mangsa banjir yang telah membeli polisi perlindungan insuran am akan dibayar kerugian.

“PIAM juga menyebut semua syarikat insuran yang menjadi ahlinya akan memproses semua tuntutan banjir selagi mana ia diinsurankan.

“Boleh Najib menafikan bahawa beliau telah mendapat nasihat yang salah mengenai isu insuran ini?” soal Teresa.

Ahli Parlimen Seputeh itu menegaskan, tindakan tersebut jelas membuktikan betapa kerajaan telah gagal menangani masalah rakyat yang kini menderita akibat banjir.

“Mengapa bencana yang luar biasa ini tidak dikendalikan secara biasa dengan mengisytiharkan darurat supaya sumber kerajaan dapat digerakkan sepenuhnya untuk menangani banjir?

“Tidak syak lagi, kerajaan telah gagal dan langsung tidak bersedia untuk menghadapi banjir luar biasa ini,” ujarnya.

Pada 25 Disember lalu, dalam jamuan teh sempena Hari Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di Wisma Eagles di Subang Jaya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan tidak ada keperluan untuk darurat diisytiharkan.

Beliau mendakwa, darurat hanya boleh diisytiharkan jika berlaku keadaan yang meruncingkan seperti bekalan elektrik dan air terputus sepenuhnya atau jumlah mangsa banjir mencecah ratusan ribu.

“Dakwaan Muhyiddin ini langsung tidak memuaskan kerana apa yang dinyatakan sedang berlaku sekarang ini,” tegas Teresa. – Roketkini.com