Berita

Mesyuarat Kabinet minggu depan perlu sokong pengisytiharan darurat

MENTAKAB, 4 JAN: DAP menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menyokong pengisytiharan darurat dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Ahli Jawatankuasa DAP Eddie Ng Tien Chee dalam kenyataan bersama menegaskan, pengisytiharan darurat akan membolehkan mobilisasi 150,000 tentera untuk menangani bencana banjir.

Menurut mereka, bantuan anggota tentera boleh memendekkan masa memulihkan musibah yang berlaku dari enam bulan kepada dua bulan, misalnya.

“Kabinet pada hari Rabu ini perlu mengambil langkah-langkah berani dan tegas berhubung pengisytiharan darurat.

“Angkatan tentera boleh digembleng untuk membantu polis menjaga keselamatan dan mangsa banjir yang telah kehilangan tempat tinggal serta membina rumah sementara termasuk memastikan tidak ada wabak penyakit dengan membersihkan kawasan bencana.

“Jika angkatan tentera di negara lain boleh memberi khidmat ketika bencana, tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh dilakukan di Malaysia,” tegas mereka.

DAP turut menggesa kerajaan agar menggunakan semua sumber untuk membantu mangsa banjir memulakan kehidupan dan perniagaan mereka semula.

Katanya, kerajaan harus meluluskan dua kali ganda daripada peruntukan bantuan banjir dari RM500 juta kepada RM1 bilion.

“Peruntukan dua kali ganda ini boleh menjadi pinjaman tanpa faedah kepada setiap mangsa banjir untuk membolehkan mereka memulakan semula kehidupan dan perniagaan dengan serta merta, dalam masa paling singkat.

“Setiap peniaga, tidak kira penjaja biasa atau peniaga kedai telah menjadi mangsa banjir.

“Kesemua mereka ini berhak menerima pinjaman tanpa faedah antara RM1,000 hingga RM250,000,” kata mereka. – Roketkini.com