Berita

Banjir: Kit Siang emel Najib, cadang majlis tindakan BN-PR

GELANG PATAH, 5 JAN: DAP mencadangkan kerajaan Pusat menubuhkan Majlis Tindakan Bencana BN-PR bagi mencari penyelesaian masalah dihadapi mangsa banjir di lima negeri di Malaysia.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ia adalah salah satu dari lima cadangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibawa ke mesyuarat kabinet Rabu ini.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, satu emel berhubung perkara tersebut telah dihantar kepada Perdana Menteri lewat malam semalam.

“Saya sudah emel Perdana Menteri bagi (mencadangkan) sebuah mesyuarat khas antara BN dan PR sebelum mesyuarat kabinet Rabu ini,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Antara kandungan emel ialah, perisytiharan darurat di negeri dilanda banjir, pembentukan Majlis Tindakan Bersama BN-PR dan sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan penangguhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Surat yang dihantar mengulangi komitmen DAP bahawa Pakatan Rakyat sanggup duduk bersama Barisan Nasional membentuk kerjasama dalam majlis tindakan bersama.

Kit Siang turut mencadangkan tambahan peruntukan RM500 juta kepada satu RM1 bilion kepada mangsa banjir dan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kelemahan dan kegagalan pelan persiapan bencana.

“Majlis tindakan BN-PR akan mencari formula penyelesaian banjir di samping kerja menyelamat dan bantuan dari ahli kedua-dua pihak (BN dan PR),” ujarnya.

Kit Siang turut menegur Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar tidak menuding jari mencari kesalahan, sebaliknya mengutamakan usaha membantu mangsa banjir.

Sementara itu Jabatan Meteorogi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, satu lagi gelombang angin monsoon dengan hujan tanpa henti selama tiga hari di beberapa negeri terutamanya di Johor, Sabah dan Sarawak pada 7 dan 8 Januari. – Roketkini.com