Berita

Kit Siang ajak Najib bertemu sebelum mesyuarat Kabinet

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan pertemuan sebelum Rabu ini bagi membincangkan empat cadangan penting berhubung bencana banjir.

Katanya, cadangan itu berhubung pengisytiharan darurat di negeri dilanda banjir, pembentukan Majlis Tindakan Bersama BN-PR, sidang khas Parlimen dan gandaan peruntukan dari RM500 juta kepada RM1 bilion perlu dibentang serta diluluskan Kabinet.

“Perlu diadakan pertemuan segera dengan Najib sebelum Rabu agar cadangan empat perkara dapat diterima Kabinet,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut Kit Siang, kabinet kali terakhir bermesyuarat 17 Disember tahun lalu, kerana Rabu minggu berikutnya jatuh pada malam Krismas (24 Disember) dan tahun baru (31 Disember).

“Jika saya benar Kabinet tidak pernah bermesyuarat sejak 17 Disember lalu, jelas menunjukkan kerajaan mengabaikan tanggungjawab dan tugas mereka

“Najib juga berhutang kepada seluruh rakyat, beliau harus memberikan penjelasan penuh dan memuaskan mengenai kelakuan kabinetnya yang ponteng dari melaksanakan tanggungjawab berhadapan dengan bencana banjir.

“Kealpaan kerajaan mengakibatkan pemindahan suku juta rakyat dan 21 orang terkorban.” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga bermula sekarang berikutan amaran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bahawa gelombang ketiga banjir menyusul mingu pertama Januari ini.

MetMalaysia memberi amaran hujan monsun dijangka bermula sekali lagi 7 atau 8 Januari ini dengan kemungkinan hujan berterusan tanpa henti selama dua hingga tiga hari di Johor, Sabah dan Sarawak. – Roketkini.com