Berita

Pemusatan kuasa taktik kotor UMNO-BN kaut untung – Zairil

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, Utusan Malaysia mempamer kejahilan tentang perlembagaan serta gagal menyedari fungsi sebenar Persekutuan Malaysia.

Zairil dalam satu kenyataan berkata, lidah rasmi UMNO itu perlu membuat kajian terperinci tentang hubungan Pusat-negeri sebelum melabelnya sebagai ‘menghasut’, berikutan artikelnya baru-baru ini mengenai pengagihan kuasa.

“Kerajaan BN sebenarnya cenderung memusatkan segala bidang tadbir urus seperti kontrak pengurusan, pelesenan atau pembinaan infrastruktur kerana mahu mendapatkan lebih banyak naungan (patronage) untuk diagih-agihkan,” kata Zairil.

Menurut Zairil, kerajaan BN berpuluh tahun merampas kuasa daripada kerajaan negeri dan tempatan.

Antaranya, pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 mengakibatkan pentadbiran pembentungan diambil alih daripada pihak berkuasa tempatan (1997), diikuti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada 2007.

Malah, pindaan Perkara 111 Perlembagaan Persekutuan pada 1976 menghalang negeri bukan sahaja daripada mengambil pinjaman bahkan menyediakan jaminan pinjaman untuk perbadananan negeri, kecuali dengan kelulusan Kerajaan Pusat.

“Trend ini berterusan apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan mengumumkan pembersihan tandas awam juga diambil alih kerajaan.

“Ini menyukarkan kerajaan negeri membuat pinjaman, dan mewujudkan kebergantungan kepada ihsan Pusat, khususnya dalam pelaburan infrastruktur berskala besar.

Justeru itu, penolong setiausaha publisiti DAP itu hairan apabia Utusan menuduhnya menghasut, sedangkan pandangann itu tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan.

“Mengapakah pengagihan kuasa pusat dianggap hasutan, tetapi tidak apabila kuasa dirampas daripada negeri? soal Zairil – Roketkini.com