Rencana

‘April Fool’ nanti kita sambut dengan GST

2014 dilabuhkan dengan episod duka nestapa bagi tanahair ini. Bermula dengan episod kehilangan MH370, disusuli pula dengan terhempasnya MH17, dituruti kenaikan harga, kes penculikan di Sabah, skandal 1MDB, dan diakhiri bencana banjir besar di Kelantan. Tidak mudah untuk kita melupakan episod tragik ini.

Kita semua akan dihambat Cukai Barang dan Perkhidmatan. Tiada lagi istilah ‘gaji aku kecil, aku tak kena cukai’.

Tarikh keramat ‘April Fool’ nanti akan kita sambut dengan GST. Ketahuilah apabila detik itu tiba nanti anak-anak kita di bangku sekolah pun tak terkecuali dihambat GST.

Beberapa bulan kebelakangan ini kita didengarkan dengan kisah kesan rantaian GST melalui kenaikan kos sara hidup mengintai-intai untuk menerobos kocek kita menjelang April nanti.

Timbul persoalan. Sempatkah tempoh kurang lebih 90 hari ini untuk mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur membetulkan rumah kediaman mereka? Atau mereka akan dilanggar sekali lagi dengan kesan GST terhadap barang pembinaan dan sebagainya? Tidak cukupkah derita yang sudah ditanggung mereka ini, wahai sang pemerintah?

Kemudian, apakah mungkin dalam gelak tawa Najib bersama Obama sewaktu bermain golf itu sebenarnya adalah gelak tawa kemesraan setelah persetujuan mengenai TPPA? Apakah perkara yang lebih penting berbanding rakyat yang sedang dilanda bencana sehingga Najib tidak bertangguh untuk memukul golf bersama Obama di Hawaii?

Bersediakah kita untuk :-

– Mengorbankan kedaulatan kita?
– Harga ubat yang akan menjadi mahal?
– Kerajaan yang boleh disaman pelabur asing di tribunal antarabangsa?
– Petani yang terpaksa bersaing dengan pemodal antarabangsa?
– Kepentingan pemodal asing yang setara dengan kepentingan peniaga tempatan?

Wahai pemerintah, renunglah mata rakyat. Mengapa kamu terus mahu berselindung dan berahsia dengan kami? Apakah kami tidak berhak mengetahui isi TPPA ini sedangkan nanti kesannya turut dirasai? Apakah kami begitu tuli hingga kamu menganggap kami tidak layak untuk diberitahu isi TPPA?

2015 menyaksikan buat pertama kalinya subsidi bahan bakar dicabut daripada kehidupan normal kita. Ketika ini keadaan agak selamat kerana harga minyak dunia berada di paras terendah. Kendatipun penurunan harga minyak berlaku, ia tidak banyak mengubah situasi harga barangan. Agak mustahil harga barangan akan turun.

Apa akan jadi jika harga minyak dunia terus meningkat naik? Pastinya ia turut menyebabkan kenaikan harga minyak dalam negara kerana subsidi telah dihapuskan, seterusnya berdepan kenaikan harga barang lebih tinggi.

Ini pasti membuatkan kita terpaksa berhadapan dengan satu lagi krisis bebanan kos sara hidup setelah GST bermula nanti.

Adakah tirai 2015 ini akan mematikan gelora perkauman yang membadai ketika ini? Mungkinkah benih-benih harmoni dan toleransi tumbuh mekar kembali. Perlukah kita meneruskan kerja-kerja sekumpulan pelampau yang tidak pernah mempunyai niat murni melihat negara ini bergerak dengan aman, harmoni dan persaudaraan yang erat di kalangan rakyatnya.

Berlalu 2014, datang 2015. Bergemuruh seluruh negara dan dunia menyambut kehadiran tahun baru. Tetapi adakah gelak tawa mengira detik 12 malam itu akan kekal sehingga penghujung tahun? Atau kita akan berhadapan dengan liku-liku jalan kehidupan yang sulit dan memeritkan.

Fikir-fikirkanlah wahai rakyat Malaysia!!

Selamat datang 2015. Selamat datang Cukai Barang dan Perkhidmatan. Selamat datang TPPA. Selamat datang tahun kenaikan kos sara hidup. – Roketkini.com