Berita

“Kalau Najib pun kena e-coli, begitu juga mangsa banjir”

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Sekiranya bakteria E coli boleh menjangkiti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu melawat kawasan banjir, sudah tentu risiko sama dihadapi mangsa banjir.

Setiausaha Politik Ketua Ahli Parlimen DAP Dyana Sofya berkata, ia menunjukkan bahawa kawasan yang dilanda banjir berisiko dengan penyebaran penyakit merbahaya.

“Perdana Menteri yang sekejap sahaja di sana pun boleh dijangkiti, mangsa banjir pastilah lebih berisiko tinggi.

“Mereka kurang air bersih dan ubatan pun sangat terhad, tambahan pula kebersihan tidak terurus lagi.

“Seharusnya tidak ada alasan lagi kepada kita untuk mengatakan tidak mampu menguruskan situasi pasca banjir ini,” kata Dyana dalam satu kenyataan.

Semalam Pejabat Perdana Menteri dalam satu pemakluman memberitahu Najib terkena jangkitan bakteria e-coli semasa lawatan ke kawasan banjir sebelum ini.

E coli yang tersebar dalam keadaan seperti banjir boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam dan penyahhidratan yang boleh membawa maut.

Penyebaran bakteria dari air dan makanan yang terdedah boleh menyebabkan jangkitan dan keracunan makanan.

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil bagi jangkitan bakteria termasuk suntikan vaksin kepada pengendali penghantaran makanan di pusat penempatan sementara.

Justeru itu tegas Dyana, kerajaan perlu segera mengurus kawasan yang terdedah dengan serangan bakteria itu.

“Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri perlu berperanan dan menyediakan pelan yang telus dan inklusif.

“Pelan tindakan awam sangat-sangat diperlukan agar bencana kemanusiaan dapat dielakkan dari berlarutan,” ujar Dyana. – Roketkini.com