Berita

P Pinang upaya potensi sektor hartanah, tuan rumah sidang antarabangsa

GEORGE TOWN, 6 JAN: Pulau Pinang kini giat berusaha mengembangkan potensinya selaku peneraju sektor hartanah di negara ini, kata Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo

Menurutnya, antara inisiatif dilakukan kerajaan negeri termasuk penganjuran sidang hartanah peringkat antabangsa yang digabung-jalin bersama ekspo pameran hartanah.

Acara pertama yang dinamakan Penang International Property Summit itu dijadualkan berlangsung pada 9 Januari 2014 bertempat di SPICE Arena (PISA).

“Ini akan menjadi acara julung kali, seiring aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi bandar pintar bertaraf antarabangsa.

“Kami meletakkan matlamat memupuk kesedaran tentang isu-isu yang dihadapi pemain industri, dan kerajaan negeri akan mendengar untuk menggalakkan pasaran hartanah di Pulau Pinang,” kata Jagdeep.

Menurutnya, persidangan dengan tema ‘Berdepan cabaran masa depan dalam sektor hartanah Pulau Pinang’ adalah hasil usahasama sektor swasta dan kerajaan negeri

Antara isu yang dibincangkan termasuk cabaran pemain industri dalam penyediaan rumah mampu milik, insentif pembeli kali pertama dan pembinaan bangunan mesra hijau.

“Tak perlu diperkatakan lagi bahawa Pulau Pinang memiliki kawasan hartanah yang paling dicari-cari di Malaysia ini.

“Pasaran hartanah di sini akan terus berkembang. Pulau Pinang akan terus menjadi negeri paling menarik dan sesuai untuk pelaburan,” kata Jagdeep. – Roketkini.com