Budaya

Seta dan Himura, kebenaran bukan di mata pedang samurai

Dalam satu perlawanan antara Seijiro Seta dengan Kenshin Himura dalam komik Satria Pedang (Samurai X) karya Nobuhiro Watsuki berlaku perbualan yang mengungkapkan kebenaran akan ditentukan dengan pedang samurai. Bermaksud sesiapa yang menang dialah pemilik kebenaran dan sesiapa yang kalah dialah yang bersalah.

Ini falsafah yang dipegang oleh Seta kerana pengalaman hidup beliau semasa kecil dihempap keganasan dan penindasan oleh keluarga angkatnya. Beliau akhirnya dibantu Shishio yang mengeluarkannya daripada permasalahan tersebut dengan memberikan sebilah pedang untuk membunuh keluarga angkat yang menindasnya.

Bagaimanapun Himura berpegang kepada pendirian yang bertentangan dengan Seta. Dialog yang berlaku semasa perlawanan pedang antara mereka telah menyebabkan kekeliruan kepada falsafah yang dipegang oleh Seta. Himura menyatakan kebenaran atau kesalahan tidak ditentukan oleh pihak memenangi sesuatu perlawanan. Kebenaran adalah tetap kebenaran dan kesalahan adalah tetap kesalahan tanpa perlu melihat kepada keputusan pertarungan.

Bertrand Russell dalam buku bertajuk The Impact of Science on Society atau Dampak Sains Ke Atas Masyarakat menulis jika satu-satunya cara menentukan pihak yang benar dalam satu-satu pertikaian hanya dengan menunggu dan melihat siapa di antaranya menang, maka tidaklah ada lagi sebarang prinsip yang boleh digunakan; cuma kekerasan sahajalah yang boleh memberi kata putus terhadap sesuatu isu.

Saya percaya ramai yang tidak bersetuju dengan falsafah yang dipegang oleh Seta untuk dipraktikkan dalam kehidupan harian sekiranya dilihat dari sudut yang bebas daripada pengaruh agama. Sudah tentu ramai yang cenderung kepada pemahaman Himura.

Bagaimanapun apabila terdapat pengaruh agama secara tidak sedar terdapat individu yang berpegang kepada falsafah Seta iaitu yang menang adalah benar dan yang kalah adalah salah dalam kerangka fikir harian mereka. Contohnya, ‘wabak penyakit kerana Tuhan murka’, ‘bencana alam kerana dosa manusia’ dan ‘kesempitan hidup kerana tidak solat’. Bermaksud apabila kita ditimpa sesuatu musibah, kita sedang kalah dan kita berada di tempat yang salah.

Ini adalah persoalan yang sekiranya diteliti dengan mendalam kita akan berjumpa dengan hujah yang berlawanan dengan kefahaman yang dipegang oleh Seta. Bermaksud bukan sebab sesuatu pihak benar maka kemenangan mesti di pihaknya, tetapi ditentukan faktor lain seperti perancangan dan pengurusan.

Contoh, wabak penyakit kerana ketidakcekapan dalam pengurusan kebersihan, bencana alam kerana ketidakcekapan pengurusan alam sekitar dan kesempitan hidup kerana kegagalan mencari peluang (atau usaha) kewangan dengan baik.

Tidaklah bermaksud saya menolak falsafah yang dipegang Seta secara keseluruhan tanpa melihat implikasi kerohanian (kepercayaan dan agama) dalam kehidupan harian individu dan masyarakat, tetapi terdapat sebab logik mempersoalkan semula hujah yang menggunakan agama sebagai alasan semata-mata, atau dengan erti kata lain hanya berdoa dan bertawakal tanpa ada usaha sebelumnya.

Sebagai contoh apabila saya menghadiri satu kursus pra-perkahwinan yang menceritakan untuk mendapat wang yang banyak perlulah solat dan beriman kepada Allah. Maka, ia boleh dipersoalkan semula dengan melihat sekeliling – mengapa mereka yang bukan beragama Islam atau yang tidak mempercayai Tuhan mampu mencapai tahap kewangan yang tinggi dalam kehidupan walaupun tanpa solat sekali dalam seumur hidup mereka sekalipun.

Persoalan ini lebih parah apabila falsafah Seta cuba untuk menjadi polisi atau undang-undang. Saya menolak pandangan bahawa bencana banjir yang berlaku di Kelantan disebabkan kemurkaan Allah kerana penangguhan hudud sejak 1993, ataupun amaran Allah supaya hudud dilaksanakan segera.

Saya berpendapat bahawa ia masalah berkaitan kurangnya perhatian kepada pengurusan bencana alam itu sendiri.

Nuh a.s diperintahkan Allah supaya menyediakan bahtera agar banjir yang berlaku dapat diuruskan dengan baik untuk menyelamatkan haiwan dan manusia yang beriman. Bermaksud urusan persediaan sudah dilakukan sebelum banjir berlaku iaitu pembinaan bahtera. Sekiranya boleh diterjemahkan dalam keadaan hari ini iaitu perancangan bandar, perparitan dan kestabilan biodiversiti hidupan.

Dengan tujuan pengurusan bencana alam. Seperti dinyatakan di atas, hujah yang memberikan agama sebagai alasan semata-mata masih terdapat hujah yang logik untuk dibidas.

Selepas perlawanan tersebut Seta membuat keputusan untuk berpegang kepada falsafah yang dipegang Himura dan meninggalkan falsafahnya sebelum ini. Bukan kerana beliau kalah kepada Himura tetapi kerana hujah Himura yang lebih logik dan praktikal. Kita juga perlu memikirkan dan berusaha ke arah yang lebih objektif.

Kemenangan Himura adalah disebabkan persediaannya sebelum berlawan dengan Seta dengan mempelajari Amakakeru Ryunohirameki (sejenis jurus peringkat tertinggi dalam aliran pedang Hiten Mitsurugi) Juga menggunakan segala pengalaman bertarungnya sebelum zaman pembaharuan kerajaan Jepun yang dimilikinya dalam merencana strategi perlawanan.

Samurai diingati kerana semangat dan prinsip hidup mereka yang berdisplin dan teguh pendirian. Bahkan keberanian menjaga maruah diterjemahkan dengan harakiri.

Akhirnya Hiroshima dan Nagasaki tetap musnah dengan senjata moden Amerika Syarikat. Kemenangan Amerika Syarikat tidaklah bermaksud mereka benar dan Jepun yang bersalah. Tetapi bagaimana keburukan yang direncana dengan teliti mampu mengalahkan kebaikkan yang tidak direncana dengan baik. Akhirnya, Seta berubah dan membuat keputusan untuk memperbaiki kehidupannya. – Roketkini